Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Bersama-sama pastikan kebersihan alam sekitar

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Kementerian Kesihatan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Dalam masa dunia bergelut dengan pandemik COVID-19 dan meningkatnya penyakit-penyakit seperti kanser, asma dan penyakit jantung di seluruh dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru supaya negara-negara dunia akan terus komited serta tidak mengabaikan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan alam persekitaran yang bersih untuk kesihatan dan kesejahteraan seluruh masyarakat agar sentiasa terjamin.

    “WHO menganggarkan lebih 13 juta kematian di dunia berlaku setiap tahun disebabkan pencemaran alam sekitar. Ini juga termasuk perubahan iklim yang merupakan ancaman terbesar yang dihadapi seluruh penduduk bumi pada ketika ini.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) dalam perutusannya sempena Hari Kesihatan Sedunia yang membawa tema ‘Planet Kita, Bumi Kita’.

    Di Negara Brunei Darussalam, ujar beliau, kita sangat beruntung kerana negara mempunyai purata indeks udara yang bersih dan semua rakyat dan penduduk di negara ini, mempunyai akses kepada air dan makanan yang bersih serta selamat.

    “Sebagaimana yang telah dapat dilihat di seluruh dunia, COVID-19 telah memberikan impak yang lebih serius kepada golongan yang lebih mudah terkesan, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan yang mempunyai udara yang tercemar dan tidak mempunyai akses kepada air bersih serta makanan yang sihat dan selamat.

    “Malahan, bukan sahaja dari aspek kesihatan, ia juga memberikan kesan buruk kepada ekonomi dan kestabilan sosial masyarakat,” ulas Yang Berhormat Dato lagi dalam perutusannya.

    Terdahulu dalam perutusan itu, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa Hari Kesihatan Sedunia disambut pada setiap 7 April di seluruh dunia sempena memperingati penubuhan WHO pada 1948.

    Setiap tahun, sambutan akan diraikan dengan tema yang berbeza dan ianya dijadikan sebagai salah satu platform utama untuk menarik perhatian orang ramai mengenai isu-isu global kesihatan semasa.

    “Pada tahun ini, WHO telah memilih tema ‘Planet Kita, Bumi Kita’ yang bertujuan untuk memberikan peringatan bahawa udara yang segar, air yang bersih dan makanan yang selamat adalah sangat penting bagi kesihatan dan kesejahteraan semua penduduk dunia,” tambahnya.

    Dalam perutusan itu lagi, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa sebahagian besar punca bagi krisis perubahan iklim adalah disebabkan kegiatan manusia sendiri dengan lebih 90 peratus pencemaran udara adalah disebabkan pembakaran minyak fosil.

    “Peningkatan suhu panas permukaan bumi boleh menyebabkan peningkatan kepada pembiakan nyamuk dengan lebih cepat dan meluas iaitu vektor pembawa penyakit seperti denggi dan malaria.

    “Keadaan cuaca ekstrem dan pembangunan yang terlalu pesat juga boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan masyarakat juga boleh kehilangan tempat tinggal dan sumber pendapatan. Kita juga telah menyaksikan, pencemaran bukan saja terhad kepada permukaan tanah, tetapi ianya juga terjadi kepada kehidupan laut seperti pembuangan plastik yang berleluasa,” ujarnya.

    Oleh itu, Kementerian Kesihatan menyeru orang ramai, dalam negara sedang bergiat aktif dalam pemulihan daripada kesan-kesan pandemik COVID-19, untuk sama-sama berganding bahu dan bekerjasama dalam memastikan kehidupan yang lebih mampan supaya kesejahteraan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam serta seluruh penduduk bumi akan sentiasa terjamin.

    “Kita hendaklah bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan alam persekitaran kita sentiasa bersih dan bebas daripada pencemaran serta membudayakan ‘health in all policies’ iaitu di mana setiap tindakan dan kegiatan yang kita lakukan perlu mengambil kira kesannya kepada kesihatan dan bumi,” tambah beliau.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...