Oleh Nurdiyanah R.
Membesarkan anak-anak sama ada yang dilahirkan sempurna atau kelainan upaya merupakan salah satu anugerah Ilahi, yang mana mereka juga memerlukan kasih sayang dan belaian penuh keikhlasan daripada ahli keluarga, rakan-rakan malah masyarakat.
Dengan kata lain, kehadiran golongan istimewa di dunia yang fana ini bukanlah untuk dihina dan dicerca tetapi golongan ini perlulah difahami, dibantu dan dibimbing supaya mereka merasa dikasihi, dihargai dan tidak berasa disisihkan oleh masyarakat supaya mereka dapat menjalani dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan sejahtera.
Sehubungan itu, demi memupuk rasa kasih sayang dan prihatin serta tanggungjawab dalam kalangan warga sekolah kepada golongan istimewa yang mengalami autisme dan juga orang berkeperluan khas yang lain, Sekolah Rendah (SR) Keriam, Daerah Tutong atas inisiatif Blok Titipan Kasih, Model Sekolah Inklusif telah mengadakan Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia di sekolah itu baru-baru ini.
Blok Titipan Kasih itu merupakan salah satu pusat sumber pembelajaran bagi pelajar-pelajar berkeperluan khas di Daerah Tutong yang secara keseluruhannya terdiri daripada 33 orang pelajar autisme berdaftar.
Warna biru penyeri suasana
Sambutan yang membuka tirainya seawal 7:15 pagi bersempena dengan Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut pada 2 April setiap tahun itu bermatlamat untuk meningkatkan impak kesedaran dan penerimaan warga sekolah golongan istimewa autisme dan berkeperluan khas.
Menariknya, sambutan telah dimeriahkan dengan Autism Walk yang disertai para guru dan murid serta kakitangan-kakitangan sekolah memakai baju sedondon berwarna biru melakukan aktiviti berjalan di kawasan trek padang sambil membawa pemidang kesedaran autisme.
Begitu juga Autism Wall yang dipamerkan di Blok Titian Kasih di mana ia dhiasi dengan hasil lukisan sentuhan kreativiti guru-guru dan juga para kakitangan sekolah. Turut diserikan juga Autism Quotes antaranya I am Special dan Same but Different yang dilekatkan pada permukaan kanvas.
Di samping itu, pertandingan mewarna dan melukis poster juga dibukakan kepada semua pelajar semasa berlangsungnya sambutan penuh istimewa itu.
Guru besar sekolah itu, Dayang Norrafah binti Haji Jait yang mencetuskan ilham bagi Autism Wall turut mengongsikan bahawa adapun variasi sentuhan kreativiti guru-guru dan juga para pelajar serta kakitangan sekolah itu sememangnya jelas memancarkan satu lambang sokongan mereka terhadap insan-insan istimewa ini sekali gus dalam sama-sama meningkatkan pemahaman dan membuka minda bagi menerima serta menghindari sikap diskriminasi, stigma dan penyisihan terhadap golongan tersebut.
Together We Care
Aktiviti Kesedaran autisme juga diselenggarakan oleh beberapa orang pegawai yang dijemput khusus dari Unit Pendidikan Khas (UPK), Kementerian Pendidikan.
Menerusi aktiviti berkenaan, ia bertujuan untuk memupuk kesedaran pelajar-pelajar di kelas biasa apa yang dirasakan oleh pelajar-pelajar autisme dan apa yang harus mereka lakukan dalam senario tertentu.
Di saat berlangsungnya keceriaan sambutan bagi anak-anak istimewa itu pastinya terselit juga detik-detik hati yang tersentuh dan air mata terharu guru-guru ketika melihat karenah dan momen-momen suka dan duka pelajar-pelajar istimewa mereka selama ini.
Begitulah ungkapan rasa yang dikongsikan oleh Hajah Ratnawati binti Haji Mohammad selaku pengerusi sambutan yang turut memohon harapan agar dengan adanya sambutan sebegini, ia juga akan mewujudkan keprihatinan masyarakat secara menyeluruh terhadap golongan istimewa ini.
“Menjaga kesejahteraan mereka dengan kasih sayang, itulah tanggungjawab kita bersama. Together We Care!,” ujarnya semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis, baru-baru ini.