Bersama semarak Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW pada Selasa, 12 Rabiulawal 1443H bersamaan 19 Oktober ini, semua rangkaian televisyen iaitu RTB Perdana, RTB Aneka dan RTB Sukmaindera dan semua rangkaian radio serta RTBGO akan menyiarkan secara langsung majlis sambutan Maulud peringkat negara mulai pukul 12:30 tengah hari.

Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW yang dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta sokongan dari Radio Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri itu membawa tema ‘Rasulullah Kekasih Allah, Kekasihku Dunia Akhirat’.

Antara pengisian acara adalah persembahan bacaan Al-Quran, dikir marhaban, bacaan selawat, puisi serta tazkirah khas.

Sehubungan dengan itu, bersempena sambutan maulud ini, marilah bersama-sama memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah SAW yang dikasihi dan cintai, mudah-mudahan mendapat rahmat dan syafaatnya.