Bersama semarakkan ibadah korban

Oleh Syahmi Halimshah

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Dalam sama-sama menyemarakkan hari kebesaran Islam Hari raya Aidiladha, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah mengadakan Majlis Ibadah Korban yang berlangsung di Tingkat 5, Dewan Serbaguna, Bangunan Ibu Pejabat PPNBD kelmarin.

Sejumlah dua ekor lembu telah dikorbankan dalam majlis tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Yang Dipertua PPNBD, Haji Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pemangku Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Keagamaan, Awang Muhamad Najib bin Abdul Hamid.

Majlis diteruskan dengan pengagihan sebahagian daging ibadah korban kepada asnaf fakir dan miskin yang berdaftar di Majlis Ugama Islam Brunei yang telah disempurnakan pengagihannya oleh tetamu tehormat majlis.

Turut sama hadir ialah Ketua Pesuruhjaya, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali; Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Mohd Zali bin Haji Arsad; ahli-ahli majlis pengakap-pengakap daerah; pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap;penolong-penolong pesuruhjaya daerah; pemimpin-pemimpin pengakap dan ahli-ahli pengakap.

Majlis Ibadah Korban ini dilaksanakan bagi melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas kurnia rezeki serta meningkatkan keimanan dan ketakwaan warga PPNBD dalam perkara berkebajikan di samping memeriahkan lagi hari-hari kebesaran Islam.

Ianya juga diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan ahli-ahli PPNBD.

Majlis Ibadah Korban PPNBD pada tahun ini diungkayahkan bersama oleh Bahagian Keagamaan dan Bahagian Pengakap Perempuan PPNBD.

Haji Matusin menyampaikan daging korban kepada salah seorang ahli pengakap.