SABAH, MALAYSIA, 3 FEB – Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof kini berada di Sabah, Malaysia bagi lawatan kerja ke Tawau atas undangan Menteri Pertahanan Malaysia, Tuan Yang Terutama Haji Mohamad bin Sabu.
Menyertai rombongan lawatan tersebut ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.
Lawatan kerja berkenaan dimulai dengan taklimat yang disampaikan oleh Pemerintah Angkatan Tugas Bersama 2, Brigedier Jeneral Johari bin Mohd Jaafar di Markas Angkatan Tugas Bersama 2, Kem Kukusan, Tawau.
Delegasi kemudiannya dibawa melawat ke beberapa lokasi ketenteraan dan aset strategik di sekitar Pantai Timur Sabah, termasuk Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah, iaitu bekas sebuah pelantar minyak yang digunakan menjadi aset keselamatan dan berfungsi sebagai pangkalan hadapan bersepadu yang secara strategik diletakkan di bawah Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZONE), dan berfungsi mendukung operasi membanteras kegiatan jenayah merentas sempadan.
Semasa lawatan tersebut, TYT Haji Mohamad telah mengetuai delegasi dari Malaysia yang turut dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang; Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Datuk Mohd Reza bin Mohd Sany; Panglima Angkatan Bersama Malaysia, Leftenan Jeneral Dato’ Suhaimi bin Haji Mohd Zuki dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Ahmad Nadzri bin Mohd Hassan.
Lawatan ini memberikan peluang kepada delegasi Brunei Darussalam untuk melihat dengan lebih dekat bagaimana Angkatan Tentera Malaysia memantau, melindungi dan memelihara perairan ne-gara daripada cabaran transnasional khusus di kawasan perairan Sabah, Malaysia dan Selatan Filipina.
Lawatan juga pada dasarnya bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan pertahanan dua hala antara Brunei Darussalam dan Malaysia, di mana kedua-dua menteri juga turut mengambil peluang untuk bertukar-tukar pandangan dan maklumat mengenai pelbagai isu keselamatan semasa dan menekankan betapa pentingnya untuk kedua-dua belah pihak bekerjasama rapat dalam menangani cabaran-cabaran tersebut.





























