Bersama tangani isu dadah haram

VIENNA Austria, 15 Mac – Kerjasama antarabangsa adalah sangat penting dalam sama-sama menangani isu dadah haram dan ia bukan hanya terletak kepada sesebuah negara tetapi dengan kerjasama daripada negara-negara lain.

Perkara ini ditekankan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datin Seri Paduka Hajah Elinda binti Haji C.A. Mohamed semasa Segmen Peringkat Menteri bagi Mesyuarat Commission on Narcotic Drugs (CND) ke-62 yang berlangsung selama dua hari hingga hari ini di Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNDOC), Vienna, Austria.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Mesyuarat CND ini ditubuhkan melalui Resolusi 9(1) ECOSOC pada 16 Februari 1946 sebagai badan yang memantau dan meneliti dasar berhubung dengan dadah serta pelaksanaan ketiga-tiga konvensyen dadah iaitu Single Convention on Narcotic Drugs 1961, Convention on Psychotropic Substances 1971, dan United Nations Convention against Illicit Traffic in Narcotic Drugs and Psychotropic Substances 1988.

Sesi mesyuarat peringkat menteri pada tahun ini diadakan bagi menilai pencapaian terhadap komitmen yang telah digariskan dalam dokumen 2009 Deklarasi Politik dan Pelan Tindakan Kerjasama Antarabangsa ke arah Strategi Bersepadu dan Seimbang untuk Membanteras Masalah Dadah Sedunia yang menentukan tindakan yang perlu diambil oleh negara-negara ahli sebagai matlamat perlu dicapai menjelang 2019.

Ini termasuk penilaian terhadap pencapaian dan cabaran dalam menangani masalah dadah di dunia, dalam tiga rangka konvensyen kawalan dadah antarabangsa dan lain-lain instrumen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang relevan.

Datin Seri Paduka Hajah Elinda memberi ucapan semasa menghadiri Segmen peringkat Menteri bagi Mesyuarat Commis-sion on Narcotic Drugs (CND) ke-62.

Semasa mesyuarat berkenaan, Datin Seri Paduka Hajah Elinda juga telah mengongsikan bahawa Negara Brunei Darussalam mengamalkan pendekatan yang komprehensif dan seimbang dalam menangani isu penyalahgunaan dan pengedaran dadah dengan tujuan untuk menjaga keamanan, keselamatan dan juga perkembangan sosioekonomi negara.

Beliau juga menyatakan pentingnya kempen kesedaran awam bagi memberi pengetahuan dan pendidikan terhadap kesan dadah dan juga bagi memberi pengetahuan dan pendidikan kepada orang awam terhadap produk-produk herba atau tumbuh-tumbuhan yang digunakan sebagai tanaman hiasan dan jenis perubatan tradisi yang berkemungkinan mengandungi bahan-bahan terkawal dan bahan generiknya.

Beliau seterusnya menyatakan bahawa dalam mencari pendekatan yang terbaik dalam mengatasi masalah dadah, hak kedaulatan sesebuah negara hendaklah dihormati dalam membuat keputusan dan mengimplementasi polisi negara dengan mengambil kira pelbagai aspek politik, ekonomi, sosial, budaya dan juga masyarakat, memandangankan tidak ada pendekatan yang sama boleh diguna pakai oleh semua negara bagi menangani isu-isu dadah.

Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh ahli-ahli PBB yang terdiri daripada ketua-ketua negara, menteri-menteri dan timbalan menteri serta ketua-ketua jabatan yang bertangungjawab terhadap dadah haram.