Bersama tangani ketidaksamaan semasa pandemik

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah bersabda bahawa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama-sama negara-negara anggota ASEAN terus bekerjasama menangani cabaran-cabaran yang dihadapi daripada pandemik global menerusi perkongsian strategi aktif dan amalan baik yang membawa manfaat kepada rakyat.

Oleh itu, Negara Brunei Darussalam selaku pengerusi ASEAN 2021 dengan tema We Care, We Prepare, We Prosper, adalah kemuncak komitmen-komitmen seumpama itu dan untuk mencari jalan bagi memelihara kesejahteraan dan kehidupan penduduk dalam rancangan pemulihan pasca pandemik bagi keamanan dan kestabilan serantau berterusan.‘

’Sesungguhnya, usaha-usaha itu adalah konsisten dengan tema Persidangan Isu-isu Global Borneo Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB BGIC) tahun ini dengan tumpuan ke atas usaha menangani ketidaksamaan dalam menghadapi krisis, sama ada ia bermaksud meningkatkan akses kepada sistem kebajikan sosial, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang berkualiti, kekurangan kebolehcapaian hanya akan memburukkan lagi ketidaksamaan sosial,’’sabda YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah yang juga selaku Penaung Diraja ISB BGIC semasa Perasmian ISB BGIC ke-17 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, kelmarin.

Yang Teramat Mulia seterusnya bersabda bahawa bagi belia kita, kegagalan mereka untuk menyesuaikan dan terus menginovasikan kesinambungan pendidikan bagi kanak-kanak serta golongan muda akan mempunyai kesan yang buruk terutamanya bagi negara-negara yang sudah mempunyai hasil pembelajaran yang rendah, kedayatahanan rendah kepada kejutan serta infrastruktur yang tidak mencukupi untuk menentang dan membangun kembali.

Oleh itu, jurang digital yang semakin meningkat di dalam dan di antara negara-negara di seluruh dunia tidak pernah lebih jelas daripada konteks pandemik COVID-19 global sekarang.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan mengurniakan sabda pada Persidangan Isu-Isu Global Borneo Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB BGIC) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, kelmarin.

“Terdapat keperluan segera bagi semua negara untuk meningkatkan kebolehcapaian bagi sambungan Internet yang berkualiti, serta peralatan seperti komputer kerana dunia terpaksa bekerja dan belajar dari rumah,” sabda Yang Teramat Mulia lagi.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah bersabda bahawa ‘generasi yang hilang’ boleh mengakibatkan kerugian besar dalam modal insan, dan seterusnya peluang ekonomi yang penting bagi mana-mana negara.

Yang Teramat Mulia seterusnya bersabda, situasi ketika ini membawa cabaran-cabaran serta peluang-peluang baharu untuk menghasilkan sistem-sistem yang lebih inklusif dan saksama yang boleh mempromosi kehidupan yang bermutu tinggi bagi semua rakyat, di mana belia kita merupakan orang yang tepat sebagi agen-agen perubahan masa hadapan bagi perkembangan dan kemajuan rakyat dan negara.

Dalam hubungan itu, persidangan ISB BGIC menyediakan platform bagi para belia untuk terlibat dalam resolusi perbahasan dan dialog, untuk menghasilkan dasar-dasar yang mewujudkan sistem-sistem yang lebih inklusif dan saksama pada masa yang sama, mengurangkan impak-impak negatif COVID-19 pada setiap aspek kehidupan manusia.

Pemimpin-pemimpin yang bijaksana secara kritis menimbangkan idea-idea dan perspektif-perspektif untuk menghasilkan penyelesaian yang aman dan dapat dilaksanakan.
Persidangan itu, sabda Yang Teramat Mulia lagi, menggalakkan usaha sama yang kukuh dan meluas ke arah mencapai kolaborasi bersama secara aman.

Yang Teramat Mulia menyeru para belia untuk melihat kepada pemimpin-pemimpin ASEAN dan pemimpin-pemimpin komuniti sebagai contoh bagi kepimpinan memberi kesan dan kolaborasi kukuh.

Yang Teramat Mulia berharap kesemua delegasi muda memahami akan latihan penting yang sedang mereka laksanakan dalam ISB BGIC sebagai sebahagian daripada persiapan penting bagi kehidupan masa hadapan mereka di universiti dan kerja.

Persidangan yang diketuai oleh pelajar untuk pelajar ini, sabdanya lagi, adalah bukti sumbangan dan sokongan dari sekolah, penganjur, guru-guru, penceramah, penaja dan penyokong yang hadir hari ini.

“Kita semua harus berbangga kerana menyumbang ke arah pelaburan sosial yang penting ini dan menunjukkan ‘Bruneian Heart’ kita yang terkenal dan gabungan komuniti kita dalam memupuk dan memperkasakan suara belia, penglibatan belia dan tindakan belia.”