Bersama tingkat kualiti pendidikan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Dengan kehadiran landskap pendidikan yang baharu, sekolah harus terus responsif dengan menyediakan pendidikan berkualiti tinggi yang mampu untuk melayani pelajar-pelajar yang mempunyai pelbagai minat serta keupayaan.

Pada masa yang sama, dalam era digital masa kini, kemahiran lembut seperti kreativiti, pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah, juga tidak kurang pentingnya de-ngan kompetensi akademik.

Dalam hubungan itu, peranan pemimpin sekolah adalah amat signifikan di mana mereka mempunyai tanggungjawab dan jangkaan yang besar daripada pelbagai pihak yang berkepentingan termasuk pelajar, guru, ibu bapa, komuniti dan Kementerian Pendidikan.

Oleh itu, pemimpin sekolah harus dilengkapi dan dilatih dengan kompetensi kepimpinan yang relevan untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang efektif dan efisien, jelas Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman ketika berucap di Konvensyen Pemimpin-pemimpin Sekolah 2020 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

Beliau menekankan bahawa seorang pemimpin efektif harus sentiasa menumpukan pada standard tinggi dengan menetapkan sasaran yang realistik, berpandukan data, inovatif, bertanggungjawab, mampu menerima idea-idea baharu dan menumpu kepada pembangunan komuniti sekolah yang tinggi serta suasana yang profesional.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah berucap di Konvensyen Pemimpin-pemimpin Sekolah 2020 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, kelmarin.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.

Pemimpin sekolah harus menjana budaya sekolah yang positif, memperkasakan guru untuk berinovatif serta membangunkan peluang bagi pembelajaran sebaya di mana mereka merupakan arkitek bagi mentransformasikan sekolah dan menerajui perubahan berkenaan bekerjasama rapat bersama guru-guru, ibu bapa dan masyarakat.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah menyatakan bahawa kemahiran asas literasi, numerasi, ICT dan aspek-aspek lain pendidik yang membentuk asas bagi kemahiran abad ke-21 adalah terus signifikan di mana pendidik perlu berusaha untuk memberikan pendidikan yang seimbang dan menyeluruh kepada para pelajar supaya mereka mampu membangun ke tahap potensi penuh mereka.

Dalam hubungan itu, pelbagai program telah dilaksanakan untuk meningkatkan pembelajaran teras para pelajar di mana bagi merumuskan program berkenaan memerlukan rangka kerja yang kukuh dengan kefahaman serta pandangan yang mendalam terhadap pengajaran dan pembelajaran serta komitmen sepenuh hati pada pemimpin sekolah.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah menyatakan bahawa kerana itu, tumpuan konvensyen pemimpin sekolah pada tahun ini adalah terhadap sokongan pembelajaran di mana para pemimpin diperkenalkan kepada Rangka Kerja Sokongan Pembelajaran Kementerian Pendidikan serta inisiatif-inisiatif sokongan pembelajaran bagi para pelajar.

Inisiatif-inisiatif pembelajaran itu yang dirangka itu, jelasnya, memberikan tumpuan kepada tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.