Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Bersama zahirkan kecintaan kepada pemimpin berdaulat

    Oleh Nurdiyanah R. dan Salawati Haji Yahya

    Majlis Ramah Mesra bersama Rakyat serta Penduduk Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 merupakan satu peluang yang amat berharga untuk menatap wajah pemimpin negara yang berjiwa rakyat.

    Sesungguhnya keberangkatan Baginda Sultan berserta kerabat diraja bercemar duli ke majlis berkenaan, merupakan peluang keemasan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat dan penduduk daerah ini bagi menzahirkan rasa syukur dan kasih sayang yang amat mendalam terhadap seorang pemimpin negara yang disegani.

    Aura kesetiaan rakyat dan penduduk daerah berkenaan yang hadir juga semakin terserlah dengan adanya bendera-bendera kecil negara yang dikibarkan oleh pelajar-pelajar sekolah sepanjang jalan menuju kawasan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara bagi menjunjung keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja.

    Meskipun cuaca terik matahari memancar di langit pada detik hari ini, namun semangat rakyat dan penduduk di daerah berkenaan tidak pernah luntur untuk sama-sama hadir menantikan ketibaan Baginda Sultan dan kerabat diraja sejak awal pagi lagi.

    Tanpa mengira peringkat usia, penglibatan lebih 400 orang peserta persembahan khas juga tidak ketinggalan memancar semangat juang mereka dalam menggenggam satu amanah bagi sama-sama menjayakan persembahan khas semasa berlangsungnya Majlis Ramah Mesra bersama Rakyat serta Penduduk Daerah Brunei dan Muara.

    Hajah Lina amat bersyukur atas peluang buat julung kalinya mengisi beberapa segmen sketsa lakonan untuk disembahkan kehadapan majlis Baginda Sultan dan juga kerabat diraja bersama rakan-rakan perjuangan.
    Dayat Ahim (kiri) mengungkapkan penglibatannya bagaikan satu peluang tidak ternilai dalam hidupnya.
    Dayang Nur Ainul Mardhiah berasa teruja untuk menemui Baginda Sultan dan kerabat diraja yang sukar diungkapkan dengan kata-kata sepenuhnya.
    Dayang Wiwi semasa berkesempatan ditemui penulis.

    Coretan seni lakonan bersulam kasih

    Sehubungan dengan itu, salah seorang pelakon wanita veteran tempatan yang sering mewarnai kaca televisyen mahu pun corong-corong radio, Hajah Lina binti Haji Awang Suhaili, 60, bersyukur atas peluang buat julung kalinya mengisi beberapa segmen sketsa lakonan untuk disembahkan kehadapan majlis Baginda Sultan dan juga kerabat diraja bersama rakan-rakan perjuangan yang begitu bersungguh-sungguh mencurahkan bakat masing-masing.

    Menyentuh dari segi persiapan sebelumnya jelas insan seni ini, apa yang mereka telah laksanakan bersama para peserta seni lakonan yang terlibat ialah melakukan perbincangan secara terperinci tentang pemikiran, plot, watak, dan bahasa terlebih dahulu agar segalanya mencapai objektif persembahan.

    Tambah Hajah Lina, apa yang menyeronokkan dalam persembahan segmen lakonan berkenaan, mereka memegang prinsip biarlah segala coretan perbualan dalam lakonan itu dilakukan secara spontan atau bersahaja agar kehalusan seninya lebih terasa dan memiliki nilai-nilai estetika tersendiri.

    “Semestinya inilah tanggungjawab besar yang kami tanai lebih-lebih lagi untuk menghidupkan tema persembahan pada tahun ini kehadapan pemimpin negara yang berdaulat lagi terkenal dengan jiwa keprihatinan yang tinggi kepada rakyat dan penduduk tanah air kita. Daulat Kebawah Duli Tuan Patik!,” ucapnya sekali gus menjunjung kasih atas keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja dengan iringan doa agar sentiasa dilimpahi kesihatan yang baik.

    Alunan indah buat raja yang dikasihi

    Detik-detik kemanisan terlibat dalam menyembahkan alunan karya lagu-lagu indah kehadapan majlis Baginda Sultan turut dikongsikan oleh salah seorang penyanyi tanah air, Dayat Ahim yang bagaikan satu peluang amat berharga dalam hidupnya, lebih-lebih lagi ketika menatap wajah pemimpin negara yang begitu dinanti-nantikan saban tahun.

    “Saya sangat bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang penyanyi daripada kalangan penduduk di Daerah Brunei dan Muara. Meskipun bukanlah kali pertama mengikuti persembahan sebegini, namun hakikatnya setiap tahun itu sememangnya memiliki aura keindahan yang tersendiri,” ucapnya tulus.

    Tambahnya, lebih-lebih lagi pada tahun ini persembahan nyanyian mereka turut dihidupkan dengan adanya gabungan beberapa segmen sketsa lakonan yang dicurahkan daripada bakat-bakat para barisan pelakon yang tidak asing di negara ini.

    “Pastinya keserasian bersama penyanyi-penyanyi yang lain, iaitu Habib Adnan, Sabrina Eelini, Atikah Thane, Irfan dan Amir MnC sama-sama memikul amanah bagi memeriahkan acara persembahan khas berkenaan dapat dirasai dalam sama-sama menyokong antara satu sama lain dari segi nyanyian, pembahagian lirik dan gerak tari, di samping kegigihan para pelakon dan penari-penari yang terlibat. Alhamdulillah, inilah salah satu kenangan terindah yang pastinya sesuatu yang sukar dilupakan,” tambahnya.

    Bunga manggar serlah suasana kemeriahan

    Suasana pentas persembahan turut dihidupkan dengan kilauan warna-warni bunga-bunga manggar yang dibawa oleh sebahagian pelajar peringkat menengah di Daerah Brunei dan Muara yang terpilih.

    Oleh itu, salah seorang penuntut Tahun 7 dari Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), Dayang Nur Ainul Mardhiah binti Haji Ariffin, mengungkapkan meski pun penglibatannya sebagai pembawa bunga manggar, namun perasaan teruja untuk menemui Baginda Sultan dan kerabat diraja sukar diungkapkan dengan kata-kata sepenuhnya.

    “Cuaca panas memang cukup dirasai namun ia tidak mengurangi semangat kami untuk menyumbang tenaga bagi sama-sama memeriahkan persembahan khas majlis ramah mesra berkenaan demi ketaatan kepada seorang ulul amri yang begitu menitikberatkan kemaslahatan agama, bangsa dan negara selama ini berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) dan Negara Zikir,” tambahnya dengan nada kesyukuran.

    Tarian Cha Cha mencuit hati

    Selain itu, kerancakan lagu klasik berjudul Hati Muda daripada nyanyian asal Allahyarhamah Sri Saloma dengan diiringi bakat gerak tari Cha Cha yang dipersembahkan oleh 12 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan semakin menyerlahkan lagi suasana kemeriahan salah satu segmen persembahan yang pastinya mencuit hati.

    Adik manis bertudung hitam dengan hiasan bunga kuning mekar di tepi yang lebih senang disapa dengan panggilan manja, Dayang Wiwi juga berkesempatan mengongsikan keseronokan dapat bersama dan mengenali kawan-kawan baharu seusia dengannya di samping berpeluang bertemu dengan Baginda Sultan dan kerabat diraja secara langsung.

    “Seni tari adalah salah satu hobi saya. Kebiasaannya jika ada peluang, ibu bapa saya akan menggalakkan saya untuk sentiasa aktif dalam kokurikulum sekolah dan ini merupakan penglibatan saya bagi tahun kedua dalam persembahan sebegini,” ujarnya yang menuntut di Sekolah Rendah Jerudong dengan senyuman manis.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...