Friday, December 6, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersantai di kafe estetik Seoul

    INCHEON – Seoul mungkin salah sebuah bandar kopi yang hebat di dunia dengan kedai kopi boleh didapati dengan banyak di hampir setiap sudut di mana-mana kawasan kejiranan Seoul.

    Kedai kopi berkenaan menarik pengunjung dengan tema unik, daripada kafe bertemakan haiwan hingga kafe mendengar kaset vinil.

    Namun jika awda ingin mencari kafe dengan pemandangan laut yang menakjubkan, kunjungan ke pulau-pulau di luar Incheon tidak akan mengecewakan awda.

    Selain daripada pemandangan Laut Barat yang mempesonakan, pokok kelapa sawit, payung tempat teduh yang direka dengan pundi kacang yang terdapat di kedai kopi membuatkan pengunjung berasa seolah-olah sedang bercuti di pantai.

    KAFE MUD

    Kafe Mud, yang terletak di kawasan selatan Seonjaedo, sebuah pulau di luar Incheon, menarik perhatian pengunjung dengan suasananya yang tidak dimiliki oleh mana-mana kafe berdekatan.

    Ppeolc_up, minuman susu yang dihidangkan di Kafe Mud. – ANN/The Korea Herald
    Sepasang suami isteri berehat di pondok tepi pantai Kafe Hibada. – ANN/The Korea Herald
    Kafe Hibada di Yeongheungdo. – ANN/The Korea Herald
    Teh ais (kiri) dan einspanner di Kafe Floredo. – ANN/The Korea Herald
    Pengunjung mengambil gambar di Kafe Mud di Seonjaedo. – ANN/The Korea Herald
    Orang ramai bersantai di luar Kafe Floredo. – ANN/The Korea Herald
    Gambar ANN/The Korea Herald

    Daripada pintu automatik kaca, papan luncur air, kerusi kayu dan buaian menyambut pengunjung di pintu masuk.

    Apabila pelawat semakin menghampiri bangunan kafe, muzik reggae kedengaran semakin kuat, menambah lagi jangkaan pengunjung yang berada di tempat tersebut.

    Seseorang pastinya boleh menikmati minuman dan pencuci mulut dalam keadaan selesa dengan suasana sejuk kafe yang berhawa dingin. Tetapi apa gunanya mengembara sehingga ke Seonjaedo jika awda hanya tinggal di dalam bangunan?

    Awda boleh menikmati suasana percutian di bawah payung, mendengar bunyi ombak dan burung camar serta melihat barangan berwarna-warni yang dipaparkan di pelbagai kawasan kafe itu.

    Kafe tersebut juga menawarkan ppeolc_up, minuman susu yang lazat dengan krim koko manis di mana ia mengingatkan salah satu tanah lumpur di sepanjang pantai barat Korea.

    KAFE HIBADA

    Kafe Hibada mungkin tidak mempunyai minuman istimewa atau pencuci mulut yang unik untuk menarik mereka yang gemar sajian manis, tetapi suasana santai di kedai kopi itu tiada tandingannya.

    Terletak di hujung Pantai Simnipo di Yeongheungdo, kafe tersebut adalah tempat pengunjung untuk menikmati minuman sejuk dengan pemandangan ufuk pantai yang kelihatan tidak berkesudahan di samping bersiar-siar di pantai berpasir.

    Pengunjung boleh menikmati suasana yang menyegarkan dan sejuk di dalam kafe di mana tingkap dari lantai ke siling memberikan pemandangan terbuka.

    Namun kawasan luar adalah tempat yang sesak, terutamanya pada hujung minggu.

    Payung yang berbentuk daun pokok kelapa sawit, pundi kacang bersaiz besar dan kerusi kayu sudah mencukupi untuk mencipta suasana selesa untuk percutian pantai yang tidak dapat dilupakan.

    Jika awda mendapati bersantai di Kafe Hibada agak membosankan, pergi ke kedai bot jet di mana awda boleh menaiki bot jet dinamik selama 30 minit.

    KAFE FLOREDO

    Sementara itu, Kafe Floredo adalah tempat matahari terbenam yang sering dicari dalam kalangan penduduk tempatan.

    Kafe tiga tingkat ini adalah tempat yang sangat baik untuk rakan-rakan dan ahli keluarga yang ingin mengambil gambar matahari terbenam. Cahaya kejingga-jinggaan di ufuk memberikan permukaan laut kelihatan berkilauan dan memantulkan cahaya.

    Walaupun menyaksikan matahari terbenam atau matahari terbit di pantai bukanlah sesuatu yang asing bagi kebanyakan penduduk Korea, kawasan luar Kafe Floredo menjadi agak sesak dengan orang ramai yang ingin merakam detik matahari terbenam menampilkan dinding batu, pokok pain dan Jambatan Yeongheung sebagai latar belakang.

    Kafe tersebut mempunyai taman permainan berpasir untuk kanak-kanak bermain dan zon bergambar di atas bumbung untuk mereka yang ingin mengambil gambar berlatarbelakangkan Laut Barat yang terbentang luas.

    Menu yang terdapat di kafe itu menawarkan pelbagai jenis minuman termasuk jus buah-buahan, latte, manisan, espresso dan banyak lagi. Awda boleh mencuba einspanner ramuan espresso dengan krim yang merupakan minuman istimewa di Kafe Floredo. – ANN/The Korea Herald

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda