Bersatu capai generasi bebas AIDS

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Dis – Hari AIDS Sedunia disambut pada 1 Disember setiap tahun dan tahun ini, ia adalah peluang untuk menunjukkan perkembangan dalam mencapai Hasrat Perkembangan Berdaya Tahan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menamatkan wabak AIDS sebagai satu ancaman kesihatan awam dan membantu untuk mencapai hasrat generasi bebas AIDS.

Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Mohd Isham bin Jaafar sempena Sambutan Hari Aids Sedunia 2017.

Kes HIV pertama tempatan, tambah Yang Berhormat Dato, telah dikesan pada tahun 1986 dan sejak itu sejumlah 199 kes telah dilaporkan di kalangan penduduk dan penduduk tetap.

Manakala 106 kes baru telah dilaporkan sejak 2014 yang menggambarkan peningkatan pada keseluruhannya dalam tren umum. Sejumlah alasan boleh diambil kira bagi peningkatan kes – termasuk meningkatkan kesedaran HIV dan pemeriksaan. Bagaimanapun, peningkatan sikap berisiko juga menyumbang kepada peningkatan ini.

Menurut Yang Berhormat Dato lagi, sesiapa pun yang aktif secara seksual berisiko menghadapi HIV tetapi data Kementerian Kesihatan mendedahkan bahawa sebahagian kumpulan di Brunei Darussalam berada dalam risiko yang tinggi. Seks tanpa perlindungan bersama seseorang selain daripada pasangan sah meningkatkan lagi risiko dijangkiti HIV.

Lelaki yang melakukan seks tanpa perlindungan bersama lelaki lain sudah pasti menghadapi risiko tinggi.

Cara jangkitan lain bagi HIV termasuk berkongsi jarum atau alat suntikan yang dijangkiti, jangkitan dari ibu kepada anak dan menerima tranfusi darah yang dijangkiti HIV.

Jelasnya, kunci bagi menghindarkan ancaman ini adalah untuk memahami bahawa HIV boleh dicegah dengan tiga langkah mudah iaitu menghindarkan diri dari sebarang aktiviti yang boleh mengakibatkan jangkitan HIV, berpegangan teguh dan menjalankan pemeriksaan HIV.

Jelasnya lagi, orang ramai tidak seharusnya merasa cemas untuk tampil menjalankan ujian HIV kerana seperti pemeriksaan penyakit lainnya, kerahsiaan sesuatu penyakit yang di-hadapi pesakit adalah kunci asas perkhidmatan kesihatan seperti yang termaktub dalam undang –undang di negara Brunei Darussalam (di bawah Akta (204) Penyakit Berjangkit untuk melindungi rahsia seseorang yang diuji positif dijangkiti HIV.

Tambah Yang Berhormat Dato lagi, tema Sambutan Hari Aids Sedunia pada tahun ini ‘Kesihatan Saya. Hak Saya’ ini mengingatkan hak kepada kesihatan adalah lebih dari akses kepada perkhidmatan kualiti kesihatan dan perubatan.

HIV bukan hanya mengenai perubatan. Alasan bagi penyebarannya adalah sikap sosial.

Pengetahuan orang ramai, sikap dan amalan memainkan peranan besar dalam mengetepikan ancaman HIV. Ini selaras dengan visi Kementerian Kesihatan dalam bersama-sama menuju ‘Negara Yang Lebih Sihat, dan Keutamaan untuk Menyemai Kesihatan adalah Urusan Semua Orang’.