‘Bersatu dalam pemulihan pasca pandemik’

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Kira-kira 1,000 orang yang terdiri daripada penuntut-penuntut, guru dan orang ramai menyertai Forum ‘COVID oh COVID: Adaptasi Kanak-kanak di Norma Baharu’ yang diadakan kelmarin melalui kerjasama Majlis Belia Brunei (MBB) dan Jabatan Pembangunan Masyarakat dengan sokongan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari selaku yang di-pertua MBB, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kerajaan dan wakil pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan selain guru dan para pelajar.

Forum tersebut diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom serta saluran YouTube MBB bersempena dengan Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2021 dan sesuai dengan temanya pada tahun ini iaitu ‘Bersatu Dalam Pemulihan Pasca Pandemik COVID-19 Kanak-kanak’.

Ia dikendalikan oleh Pegawai Psikologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Khas, Pengiran Salimatul Sa’ada binti Pengiran Mohd Saleh selaku moderator dan ahli-ahli panel terdiri daripada penuntut-penuntut iaitu Dayang Nurhanisah binti Jailani dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha; Awang Hadif Nazhan bin Idris dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Arshia Tariq dari Sekolah Menengah Chung Hwa; Awang Mohamad Akmal Aqil bin Radat dari Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab dan On Jia Xian dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan.

Forum merupakan aktiviti interaktif yang melibatkan remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun yang bertujuan untuk mendalami perasaan kanak-kanak semasa berada dalam pandemik dan bagaimana mereka menjalani kegiatan harian semasa berada di rumah.

Ia juga dihasratkan untuk mendapatkan pandangan kanak-kanak dalam mengadaptasi norma baharu dan cara terbaik untuk berdepan dengan situasi masa kini khususnya daripada segi pendidikan, kesihatan mental dan aktiviti sosial bagi membantu pihak kerajaan mengenal pasti dan merangka strategi-strategi bagi mempertingkatkan dasar dan program yang sedia ada untuk kesejahteraan kanak-kanak dalam norma baharu.

Kira-kira 1,000 orang yang terdiri daripada penuntut-penuntut, guru dan orang ramai menyertai Forum ‘COVID oh COVID: Adaptasi Kanak-kanak di Norma Baharu’.