Bersatu hadapi bantahan

PARIS, 6 Dis – Kerajaan Perancis kelmarin menggesa semua pihak untuk sama-sama menenangkan bantahan yang sedang berlaku seluruh negara lebih dua minggu dan memberi petanda bahawa ia bersedia untuk mewujudkan kesepakatan bagi mengelakkan lebih banyak keganasan berlaku.

Presiden Perancis Emmanuel Macron merayu kepada para pemimpin politik dan juga kesatuan perdagangan untuk membantu meleraikan bantahan anti-kerajaan di mana pada Sabtu lalu menyaksikan rusuhan terburuk berlaku di tengah Paris dalam tempoh beberapa dekad, menurut jurucakap kerajaan, Benjamin Griveaux.

“Detik yang kita lalui sekarang adalah bukan mengenai politik pembangkang, ia adalah mengenai republik,” menurut Griveaux selepas mesyuarat kabinet.

Perdana Menteri Edouard Philippe memberitahu parlimen: “Apa yang penting adalah keselamatan rakyat Perancis dan institusi kita. Saya menggesa kebertanggungjawaban.”

Bantahan itu berlaku pada 17 November lalu bagi membantah kenaikan cukai bahan api tetapi mereka telah menimbulkan isu lain iaitu menentang agenda pro-perniagaan Macron dan mengadu bahawa beliau kehilangan sentuhan apabila berkaitan dengan masalah orang biasa.

Semasa bantahan itu, empat orang terbunuh dan beratus-ratus yang lain cedera dalam satu insiden yang berkaitan dengan penutupan jalan dan bantahan seluruh negara.

Pada Sabtu lalu, para perusuh mengganas di Paris, membakar kira-kira 200 buah kereta, merosakkan kedai-kedai dan Arc de Triomphe.

Pemimpin berhaluan kanan Marine Le Pen dan Jean-Luc Melenchon lantang dalam menyokong tuntutan para penunjuk perasaan.

Macron masih belum membuat kenyataan secara terbuka sejak kembali ke Perancis dari sidang kemuncak G20 di Argentina awal Ahad lalu. – AFP

Edouard Phillippe berucap semasa perdebatan darurat di Perhimpunan Agung Perancis berkenaan dengan bantahan yang sedang berlaku di Paris. – AP