Bersatu hati di JPMC

Oleh Nurdiyanah R.

Dalam meniti samudera kehidupan, setiap insan pastinya tidak terlepas daripada pelbagai cabaran, ujian dan dugaan.

Itulah seni kehidupan yang perlu kita tempuhi dengan penuh kesabaran, keikhlasan dan keredaan hati dan jiwa.

Berpegang kepada keyakinan habis gelap terbitlah terang, Allah SWT menyembunyikan matahari, lalu menghadirkan petir dan hujan sehingga sesudah itu menggantikannya dengan pelangi yang indah menyerikan pemandangan langit bumi. Itulah bayangan betapa indahnya sesuatu ujian yang berlaku dalam kehidupan manusia yang mana pastinya memiliki kemanisan hikmah yang tersirat dari Illahi.

“Hanya Allah SWT sahaja yang tahu isi hati ini. Namun saya yakin semua ini ketentuan Maha Kuasa yang pastinya ada hikmah yang terselit di sebaliknya,” kata Dayang Fatimah binti Udin dengan penuh ketulusan, semasa ditemui baru-baru ini, ketika mengimbas kembali detik-detik menerima perkhabaran bakal suaminya, Awang Ahmad Bastamam bin Umar, diserang penyakit jantung dan dimasukkan segera ke Pusat Jantung Gleneagles Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC), lebih-lebih lagi tarikh pernikahan mereka semakin dekat.

Terlafaznya ijab kabul di ruang hospital

Majlis pernikahan pasangan veteran ini boleh dianggap bermakna apabila mereka tidak dinikahkan di masjid atau di rumah persendirian, sebaliknya di Pusat Jantung Gleneagles JPMC baru-baru ini dengan dihadiri oleh ahli keluarga, saudara mara serta sahabat handai dari kedua-dua belah pihak.

Pasangan veteran, Awang Ahmad Bastamam dan Dayang Fatimah merakamkan detik gembira bersama pegawai perubatan dan sebahagian kakitangan Pusat Jantung Gleneagles Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) sejurus selesai diijabkabulkan. Kedua-duanya yang mengikat tali perkahwinan di JPMC, bersyukur majlis berjalan lancar.
Awang Ahmad Bastamam selamat dinikahkan jurunikah di ruang khas Pusat Jantung Gleneagles Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC), baru-baru ini.
Pengantin bersama keluarga dan sanak saudara semasa meraikan perkahwinan mereka di JPMC.

Dayang Fatimah yang kini berusia 51 tahun berkata meskipun perancangan awal yang ditetapkan untuk mengadakan majlis pernikahan itu di kediamannya di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panaga, Kuala Belait, tidak menjadi kenyataan, namun beliau tetap bersyukur dengan segalanya dipermudahkan dengan izinNya jua.

“Alhamdulillah, detik ini begitu bermakna! Lebih-lebih lagi dengan adanya sokongan teguh dari pihak hospital yang membenarkan majlis pernikahan berlangsung di sini. Pegawai-pegawai perubatan dan para kakitangan juga banyak membantu dalam menjayakan majlis kami ini,” tambahnya dengan penuh kesyukuran.

Segalanya sudah tertulis

Segalanya sudah tertulis, Dayang Fatimah selamat disatukan dengan jejaka pilihan hatinya yang berusia 62 tahun yang harus mendapatkan perawatan intensif di pusat berkenaan turut menjelaskan bahawa meskipun perkenalan bersama pasangan hidupnya itu tidak terlalu lama namun segalanya sudah tertulis sebagai jodohnya pada saat usia yang telah lanjut ini.

“Hadirnya insan sebagai pendamping hidup saya ini bagaikan kurniaan Illahi yang sememangnya perlu saya syukuri selagi masih bernafas di muka bumi yang sementara ini.

“Hanya berserah diri kepada Allah SWT atas segala ujian yang berlaku ini. Hal ini kerana saya percaya pertemuan, perpisahan, jodoh, ajal dan rezeki itu semuanya menjadi rahsia yang Maha Pencipta.

“Kuatkan hati dan jangan mudah berputus asa untuk mencapai rahmatNya. Itulah prinsip pegangan yang sering saya semat dalam diri ini,” jelasnya dengan nada terharu semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis, baru-baru ini.

Selamat pengantin baru kami ucapkan kepada pasangan ini dan semoga mahligai perkahwinan yang dibina berkekalan hingga ke akhir hayat.