Bersatu hati, mengukuhkan iman dalam menempuhi dugaan

PALU, Indonesia – Ketika matahari terbenam di belakang pergunungan dan angin bertiup lembut, ratusan penduduk berkumpul di kawasan pesisir pantai untuk menunaikan solat berjemaah sambil mengadakan acara tahlil bagi memperingati lebih daripada 1,500 mangsa yang telah terkorban akibat bencana gempa bumi dan tsunami.

Seorang wanita kelihatan menitiskan air mata sambil mulutnya tidak berhenti memanjatkan doa ke hadrat Ilahi.

Walaupun berada dalam persekitaran yang kurang selesa, namun mereka tetap kelihatan bersatu hati, bertabah dan mengukuhkan iman untuk memohon doa agar sentiasa diberikan kekuatan dalam menempuhi dugaan yang berat itu.

Acara solat berjemaah dan bacaan tahlil diadakan dengan tujuan untuk meredakan rasa kesedihan bagi individu yang terselamat dan tetap mengukuhkan iman di dalam hati mereka.

“Saya harap arwah anak saya ditempatkan dalam kalangan ahli syurga memandangkan dia terkorban sewaktu menunaikan solat semasa bencana itu berlaku. Dengan kuasa Allah, semuanya itu pasti akan termakbul dan saya tetap beriman kepadaNya,” jelas Abu Shamsuddin, salah seorang jemaah yang menyertai solat berjemaah di luar Masjid Agung di bandar Palu, yang turut mengalami kerosakan kesan daripada bencana alam itu.

Kebanyakan jemaah juga kelihatan tekun dan khusyuk ketika mendengarkan ceramah yang disampaikan oleh imam, yang lebih menjurus kepada memberi galakan dan semangat agar mereka terus tabah dalam menjalani kehidupan.

Umat Islam menunaikan solat berjemaah di Palu bagi meleraikan rasa kesedihan dan kekal mengukuhkan iman walaupun mereka terpaksa menempuh dugaan berat kesan daripada bencana alam. – AP
Jemaah wanita juga tidak terkecuali daripada terus bersatu hati dan sabar walaupun hati mereka masih bersedih kerana terpaksa berhadapan dengan cabaran yang hebat. – AP
Salah seorang jemaah lelaki menadahkan tangan bagi memohon doa agar penduduk di Palu terus diberikan kekuatan. – AP
Pasukan sukarelawan juga tidak terkecuali daripada terus memberikan khidmat bantuan kepada penduduk di Palu. – AP
Tentera Indonesia yang terus menghulurkan bantuan terdiri daripada bekalan makanan kepada mangsa-mangsa bencana alam di Palu.
Beberapa orang mangsa bencana alam di Palu memilih bekalan pakaian yang telah disediakan. – AP
Binaan masjid yang kekal utuh walaupun kebanyakan bangunan di sekelilingnya musnah akibat bencana tsunami. – AP

Agensi bencana kebangsaan telah mengesahkan bahawa angka kematian kesan daripada gempa bumi dengan magnitud 7.5 skala Richter telah mencapai lebih 1,900 orang.

Kebanyakan mangsa-mangsa tersebut telah dikebumikan dalam satu kawasan yang luas.

Jurucakap agensi bencana alam, Sutopo Purwo Nugroho menjelaskan dalam sebuah taklimat di Jakarta bahawa usaha-usaha pencarian mangsa yang hilang memang telah dilakukan.

Hasil pencarian telah mendapati banyak mangsa yang terkorban terkubur di dalam lumpur dan turut tertindih di bawah runtuhan rumah dan bangunan.

Dalam tempoh pencarian tersebut, memang ada kalanya di antara pasukan penyelamat yang berasa berputus asa daripada terus menemui sebarang mangsa yang terselamat.

Pasukan penyelamat dari Perancis juga turut menghulurkan bantuan dalam melakukan misi pencarian dan menyelamat di kawasan runtuhan Hotel Mercure di Palu.

Bagaimanapun, pasukan penyelamat tersebut juga berasa sangat kecewa kerana gagal untuk menemui sebarang mangsa yang terselamat.

Peralatan yang digunakan juga dapat membantu untuk mengesan pernafasan atau degupan jantung manusia namun gas bocor dan faktor-faktor lain yang boleh menggagalkan hasilnya.

“Sewaktu melakukan misi-misi pencarian dan menyelamat, kami memang sentiasa berasa gementar, namun kegagalan menemui mangsa yang terselamat merupakan satu kekecewaan yang besar,” jelas Presiden Pasukan Bomba Kecemasan Antarabangsa, Philippe Besson.

Pasukan penyelamat tempatan juga penuh giat melaksanakan kerja-kerja pencarian baru-baru ini di bawah runtuhan hotel empat bintang itu.

Pasukan penyelamat dari Perancis percaya bahawa sekurang-kurangnya 40 orang mangsa termasuk enam pekerja yang masih dipercayai hilang di kawasan itu.

Bagaimanapun sesetengah penduduk setempat juga enggan untuk melunturkan harapan tersebut.

“Saya sentiasa mengharapkan sesuatu keajaiban bakal berlaku,” jelas Bambang yang setiap hari terus berusaha mencari isterinya yang hamil di tapak runtuhan hotel itu.

Ribuan penduduk dilaporkan cedera dan lebih daripada 70,000 orang pula telah dipindahkan ke tempat perlindungan dan khemah sementara, yang banyak didirikan di Palu, sebuah wilayah yang memiliki seramai 380,000 orang penduduk.

Selepas beberapa hari meratapi kesedihan, bandar Palu juga kembali stabil di mana beberapa buah kedai juga kembali beroperasi dan bekalan elektrik di sebahagian kawasan juga berjaya dipulihkan.

Nugroho berkata kira-kira 67,000 tentera dan polis telah dikerahkan ke kawasan itu untuk mengekalkan keselamatan dan mempercepatkan pembahagian bantuan kepada mangsa yang terselamat di kawasan terpencil.

Beberapa buah kapal dan 12 pesawat tentera termasuk dari Jepun, New Zealand dan India juga turut tiba di Palu dengan membawa ratusan tan makanan yang sangat diperlukan.

Rakaman televisyen juga memperlihatkan aksi kakitangan yang memunggah kotak makanan ke dalam trak yang dihantar ke kawasan terpencil, di mana ramai mangsa yang masih mengadu bahawa kebanyakan bantuan lambat sampai.

Pihak berkuasa turut membekalkan khemah, kelengkapan rawatan air, penjana kuasa elektrik dan alat pembasmi kuman bagi mengelakkan sebarang penyakit yang tidak diingini daripada terus merebak.

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla juga turut mengambil kesempatan untuk melihat sendiri keadaan di Palu dan menjangkakan bahawa proses pembaik pulih dan pembinaan semula di kawasan zon bencana itu mungkin hanya dapat disempurnakan dalam tempoh dua tahun.

Dia menjelaskan bahawa kerajaan akan terus memastikan agar anak-anak di kawasan terjejas itu akan kembali berpeluang mengikuti pengajian di sekolah dalam tempoh sebulan.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut menyatakan bahawa hampir 200,000 orang termasuk puluhan ribu kanak-kanak yang memerlukan bantuan.

Para sukarelawan antarabangsa mengatakan bahawa kebanyakan kem tidak memiliki sistem sanitasi yang teratur dan turut melahirkan rasa kebimbangan dalam diri mereka kerana penyakit dengan mudah merebak dalam keadaan tersebut.

Kebanyakan penduduk juga masih mengalami trauma rentetan daripada bencana gempa bumi yang memusnahkan sebahagian besar kawasan dan mengorbankan ribuan penduduk di rantau itu.

“Saya terus menarik tangan anak saya dan melarikan diri ke kawasan bukit ketika gempa bumi itu terjadi. Saya tidak sempat untuk membawa barangan berharga namun kejayaan untuk menyelamatkan diri jelas menjadi perkara yang paling utama untuk dititikberatkan. Secara jujurnya, saya tidak mahu lagi menetap di perkampungan itu kerana ianya sangat menakutkan,” jelas Yuli salah seorang penduduk di Palu dalam temu bual yang disiarkan di kaca televisyen Indonesia. – AP