Bersatu hati pikul tanggungjawab bendung COVID-19

Oleh Nurdiyanah R.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, itulah yang dapat menggambarkan akan semangat prihatin yang ditonjolkan oleh masyarakat di bumi Negara Brunei Darussalam ini dalam sama-sama berganding bahu meringankan bebanan para petugas barisan hadapan yang menanai amanah dan tanggungjawab tidak mengira masa bagi membendung penularan pandemik COVID-19 yang sedang mengancam negara dan dunia amnya.

“Ibarat berada di medan perang, itulah situasi gambaran yang perlu dihadapi oleh mereka sebagai para barisan petugas kesihatan dan juga golongan sukarelawan ketika negara kita berhadapan dengan wabak ini. Mereka terpaksa melawan musuh yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar, mempertaruhkan nyawa sendiri demi menyelamatkan nyawa orang lain.”

“Oleh itu, inilah masanya untuk kita bersatu hati dan jiwa untuk menabur bakti dan ucapan penghargaan yang tidak terhingga kepada mereka semua,” ujar Awang Muhammad Azizul semasa ditemui penulis ketika sedang menyumbangkan sedekah berbentuk makanan-makanan bungkusan ‘homemade’ di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong, baru-baru ini.

Sumbangan Tidak Putus-Putus

Pelbagai barangan keperluan harian seperti air, milo pek segera, mi segera, barangan mandian dan sebagainya telah disumbangkan oleh orang ramai di negara ini meliputi orang-orang persendirian, syarikat-syarikat swasta serta pertubuhan dan persatuan bukan kerajaan (NGO).

Sumbangan seikhlas hati yang tidak putus-putus berkenaan diagih-agih kepada pesakit, pasukan barisan depan serta kakitangan hospital berkenaan yang pada masa ini penuh tekun, dan dedikasi, berkorban serta bertungkus lumus untuk memberikan khidmat dalam membantu menangani situasi COVID-19.

Antara sumbangan yang diberikan oleh orang ramai kepada Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong.
Awang Muhammad Azizul semasa ditemui penulis ketika sedang menyumbangkan sedekah berbentuk makanan-makanan bungkusan ‘homemade’ demi menabur bakti dan ucapan penghargaan yang tidak terhingga kepada para barisan petugas kesihatan dan golongan sukarelawan di Hospital PMMPMHAMB, Tutong, baru-baru ini ketika negara kita berhadapan dengan wabak ini.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, itulah yang dapat menggambarkan akan semangat prihatin yang ditonjolkan oleh masyarakat di bumi Negara Brunei Darussalam ini dalam sama-sama berganding bahu meringankan bebanan para petugas barisan hadapan yang menanai amanah dan tanggungjawab tidak mengira masa bagi membendung penularan pandemik COVID-19 yang sedang mengancam negara dan dunia amnya.

Bersama Kita Bersatu

Dalam pada itu, semangat juang penuh ketulusan jelas terlihat apabila penulis menemui dua orang belia yang menjadi sukarelawan di hospital berkenaan yang mana rata-rata mereka mengungkapkan kesyukuran dengan izin Allah SWT dapat menyumbangkan tenaga dan buah fikiran khususnya dalam membantu membungkus dan mengagih-agihkan barangan sumbangan daripada orang ramai.

Awang Muhammad Adri Adzdzin bin Qalmi mengungkapkan betapa besar sumbangan negara kepada bangsa kita selama ini, maka inilah masanya kita bersatu bersama menyalurkan apa sahaja bantuan yang tidak semestinya berbentuk wang ringgit bahkan tenaga dan buah fikiran juga begitu bermakna demi meringankan beban khususnya Kementerian Kesihatan dan mereka yang terlibat.

Dalam pada itu, Hajah Fathiin Najihah binti Haji Mohd Rozaini turut mengutarakan bahawa janganlah memandang dunia sukarelawan ini sesuatu yang merugikan. Apa yang penting, kita mestilah sentiasa memperbetulkan niat dan sentiasa bersifat positif dalam menjalankan khidmat bakti kepada sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.

“Yakinlah rahmat Allah SWT akan sentiasa menyinari kehidupan kita jika kita benar-benar ikhlas dalam memberi pertolongan sesama manusia tanpa mengira agama, pangkat dan bangsa.

“Oleh itu, bersama-samalah kita khususnya golongan belia dan beliawanis negara serta sesiapa sahaja memainkan peranan masing-masing dalam menjadi sukarelawan demi menyumbang dan menunjukkan cinta dan kasih sayang kita kepada tanah air ini lebih-lebih lagi ketika kita dilanda krisis sebegini,” tambahnya dengan penuh keyakinan dan harapan besar semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata baru-baru ini.