Bersatu menentang gangguan seksual

TOKYO, 15 Mei – Wartawan-wartawan wanita di Jepun berkata bahawa mereka akan berganding bahu untuk menentang gangguan seksual dalam media hari ini, dipercayai berleluasa di negara itu, di mana pergerakan #MeToo agak lambat untuk bertindak.

Sejumlah 86 orang wartawan wanita telah berganding bahu untuk menubuhkan Wanita dalam Rangkaian Media Jepun (WiMN) untuk mendedahkan penganiayaan dan gangguan, kata seorang wartawan bebas, Yoshiko Hayashi, yang pernah bekerja di Asahi Shimbun.

“Malangnya, diskriminasi dan gangguan seksual ke atas wanita masih wujud dalam kalangan orang awam dan entiti,” menurut kenyataan yang dibacakannya daripada kumpulan itu.

“Ramai wanita dalam dunia wartawan merasakan sukar untuk bersuara kerana malu dan takut ia akan memusnahkan hubungan mereka dengan orang yang dihubungi,” tambahnya.

Yoshiko Hayashi (kanan) ketika bercakap pada satu sidang media di Tokyo kelmarin. – AFP

Isu itu menjadi tajuk utama baru-baru ini selepas Kementerian Kewangan mengakui bahawa pegawai atasannya ‘mengganggu’ seorang wartawan wanita dalam satu insiden yang dipercayai hanya luaran daripada isu yang lebih kompleks.

Wartawan itu, bekerja bersama TV Asahi, mendedahkan perkara itu dan Hayashi berkata kumpulan itu rasa terdorong dengan keengganannya untuk berdiam diri.

“Kami sangat yakin bahawa kini sudah tiba masanya untuk menentang mana-mana gangguan seksual dan pencerobohan hak-hak asasi kemanusiaan,” kata Hayashi.

Kementerian itu terus menghadapi kritikan dengan cara dia menangani dakwaan ke atas Junichi Fukuda, yang mengundur diri atas dakwaan wartawan itu, namun masih menafikan sebarang salah laku. – AFP