Thursday, December 5, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersatu padu mencegah perbuatan jenayah

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BAGI meninjau lebih dekat perkembangan semasa keadaan kampung serta berkongsi maklumat mengenai trend jenayah dan statistik yang berlaku, delegasi Balai Polis Kampong Ayer telah membuat lawatan dan pendekatan ke kediaman Pemangku Ketua Kampung Pudak, Mukim Kota Batu, Awang Shahri bin Haji Durahim baru-baru ini.

    Rombongan Pasukan Polis Diraja Brunei berkenaan telah diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Kampong Ayer, Inspektor Hamdan bin Mantul.

    Dengan adanya interaksi kedua-dua belah pihak berkenaan akan dapat mengukuhkan lagi keberkesanan pengawasan kejiranan (PK) serta mengeratkan lagi silaturahim dan ikatan kerjasama antara pihak polis dan penduduk kampung.

    Manakala di lokasi berasingan, Balai Polis Berakas telah mengaktifkan aktiviti rondaan bersama PK Kampung Sungai Tilong dengan tumpuan utama di kawasan tadahan kampung berkenaan serta kompleks-kompleks komersial dan sekolah-sekolah di sepanjang Jalan Muara.

    Kedua-dua belah pihak sedang membincangkan mengenai trend jenayah serta berkongsi maklumat statistik jenayah di kampung berkenaan dan seterusnya membuat rondaan di Kampung Sungai Tilong.
    Rondaan pencegahan jenayah di sekitar Kampung Puni giat dijalankan bagi memastikan aktiviti kurang sihat tidak berlaku.

    Rondaan yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Berakas, Penolong Penguasa Polis (ASP) Muhammad Wafiy bin Zakaria itu melibatkan lima orang anggota balai polis berkenaan dan empat orang ahli PK yang diketuai oleh Ketua Kampung Sungai Tilong, Pengiran Haji Zainal bin Pengiran Haji Bustaman.

    Manakala itu, di Daerah Temburong, Balai Polis Bangar juga turut membuat aktiviti pencegahan jenayah bersama ahli-ahli PK Kampung Puni.

    Rondaan dimulakan dengan sesi taklimat ringkas mengenai kes-kes jenayah yang sering berlaku di kampung tersebut.

    Hadir membuat rondaan pencegahan jenayah bersama anggota Balai Polis Bangar ialah Penghulu Mukim Bangar, Haji Abdul Rahman bin Merusin dan diketuai oleh Pemangku Pegawai Menguasa Balai Polis Bangar, Inspektor Alif Nur Khaliq bin Haji Mat Rasli.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda