Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Kemerdekaan itu pastinya merujuk kepada sebuah negara yang aman dan tenteram, di samping memiliki bangsa mahupun puak yang bersatu padu dengan menghormati antara satu sama lain serta mengamalkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada pemimpin negara.
“Jika semua ini diamalkan, Insya-Allah, kita sebagai masyarakat yang turut mempertahankan adat dan budaya sejajar dengan nilai-nilai keislaman mampu mencapai wawasan negara 2035 dengan sebaik-baiknya.”
Perkara itu ditekankan oleh Dayang Haziqah yang dilihat anggun memperagakan pakaian tradisi Puak Tutong khususnya bagi majlis perkahwinan semasa ditemui Media Permata pada raptai penuh terakhir Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK-40), di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, baru-baru ini,
Beliau yang didampingi oleh tiga orang daripada Puak Murut terdiri daripada Lina, Aisyah dan Mey yang menyertai acara perbarisan lalu di bawah Pasukan Tujuh Puak Jati Brunei dengan penglibatan 180 orang secara keseluruhannya, turut menzahirkan bahawa inilah peluang yang berharga bagi dirinya bersama para peserta yang lain kerana ia bukan sahaja dapat meningkatkan semangat patriotisme dalam diri setiap individu malah dapat berkongsi pengetahuan budaya kepada orang ramai khususnya dari segi kesenian pakaian tradisi yang digunakan oleh setiap puak di negara ini.
Sementara itu, empat orang mahasiswi dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dayang Siti Rabiatul Adawiyah binti Romainor, Dayang Nurul Atikah binti Zaini, Dayang Syahzanani Hariyah binti Harman dan Dayang Siti Nursafariatul Wafaisarah binti Abdul Harib Aliakbar, yang menyertai perbarisan lalu bersama 80 orang mahasiswa dan mahasiswa yang lain berserta para pensyarah, turut menyatakan bahawa detik-detik sejarah berkenaan pastinya satu kerahmatan daripada Allah SWT yang mengurniakan nikmat keselamatan, kemakmuran dan ketenteraman dalam beragama, berbangsa dan bernegara.
“Inilah masanya untuk kita sama-sama menunjukkan curahan kecintaan kita kepada negara. Kita sebagai orang Brunei perlu sentiasa menanamkan jiwa kesyukuran dan mengenang segala pengorbanan yang diberikan oleh kerajaan kepada kita selama ini misalnya dari segi pembiayaan biasiswa untuk melanjutkan pengajian tinggi dan juga dari pemberian ubat-ubatan secara percuma. Adalah menjadi peranan kita masing-masing untuk memanfaatkan apa yang diberikan itu dengan sebaik-baiknya,” luah mereka.