Bersatu perangi salah guna dadah

Oleh Ak Zaki Kasharan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Perdana Menteri hari ini, telah mengadakan Majlis Sembahyang Fardu Asar dan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Tahlil serta Doa Selamat sempena memperingati Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2018 yang disambut pada setiap 26 Jun.

Majlis yang diadakan di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Kampung Tungku Katok itu telah dihadiri oleh Pemangku Timbalan Pengarah BKN, Awang Osmawi bin Haji Osman selaku tetamu kehormat majlis.

Tema rasmi yang dikeluarkan Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) bagi sambutan tahun ini masih mengekalkan tema yang sama tahun lalu iaitu ‘Dengar Dahulu’ yang mana dipilih sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan sokongan dalam pencegahan penggunaan dadah berasaskan sains dan setentunya menjadi pelaburan berkesan terhadap kesejahteraan kanak-kanak, belia, keluarga dan masyarakat.

Awang Osmawi ketika bersama-sama membaca Surah Yasin dan Tahlil pada majlis berkenaan yang berlangsung di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Kampung Tungku Katok.

Sementara itu, negara telah memilih tema ‘Masyarakat Bersatu Memerangi Dadah, Negara Indah’ bagi tahun ini sebagai tanda sokongan hari tersebut.

Masyarakat memainkan peranan penting dalam membantu negara memerangi penyalahgunaan dadah dengan kerjasama dan sokongan kepada pihak yang berkaitan, bukan sahaja jabatan-jabatan kerajaan akan tetapi sokongan daripada ahli keluarga dan pengguna dadah itu sendiri adalah sangat penting.

Dengan memupuk dan mengamalkan sikap pemedulian serta bertanggungjawab, masyarakat dan semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama dalam membendung jenayah penyalahgunaan dadah bagi menjamin masa depan keluarga, masyarakat dan Negara.