Bersatu perangi serangan siber

SAN FRANCISCO, 6 OGOS – Pegawai keselamatan siber Amerika Syarikat (AS) berkata Amazon, Google dan Microsoft bersetuju membantu negara itu memerangi ‘ransomware’ dan mempertahankan pengkomputeran awan daripada penggodam.

Menurut Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur (CISA), syarikat gergasi dalam talian itu menyertai Usaha Pertahanan Siber Bersama bagi menggabungkan kepakaran awam dan swasta untuk membanteras penggodam. Pengarah CISA, Jen Easterly berkata gandingan kepakaran luar biasa rakan usaha sama terbabit akan memudahkan tugas itu.

“Tumpuan awal kami adalah memerangi serangan siber dan membangunkan rangka kerja perancangan bagi menyelaras isu yang menjejaskan penyedia khidmat pengkomputeran awan.

“Jenayah siber mengakibatkan dunia kerugian bertrilion dolar dan ‘ransomware’ adalah ancaman utama.

“Saya mahu tumpukan kepada pengukuhan kerjasama kerajaan-swasta termasuk sektor industri, akademik, penyelidik dan penggodam,” katanya.

Easterly berkata demikian dalam ucaptama memperkenalkan inisiatif itu pada persidangan keselamatan siber, Black Hat, di Las Vegas, yang mengumpulkan profesional industri itu dari serata dunia bagi berkongsi kepakaran dan inovasi. Beliau turut menggesa lebih banyak syarikat menyertai kerjasama yang setakat ini mendapat sokongan Amazon Web Services, AT&T, Crowdstrike, FireEye, Google dan Microsoft. – AFP