Bersatu Sabah harap parti sekutu bijaksana dalam agihan kerusi

TUARAN, 20 OGOS – Bersatu Sabah berharap parti sekutu akan menggunakan kebijaksanaan dalam menentukan agihan kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) yang dijadualkan bulan depan.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor berkata ini kerana matlamat Bersatu adalah sama dengan rakan-rakan sekutu, iaitu memenangi PRN pada 26 September ini.

“Kita harap pemimpin parti-parti rakan menggunakan kebijaksanaan masing-masing untuk mengatur, mengagihkan kerusi yang akan ditandingi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan dan penerimaan borang keahlian Bersatu Kampung Baru-Baru, di sini, hari ini.

Pada 1 Ogos lalu, Hajiji dilaporkan berkata Bersatu Sabah sedia bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN akan datang.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata Bersatu telah mengenal pasti senarai calonnya dengan hampir 60 peratus adalah muka baharu. – Bernama