Bersedia hadapi cuaca lebih ekstrem

Tragedi kepala air di Yan, Kedah pada 18 Ogos lepas yang meragut enam nyawa, berlaku akibat kadar purata hujan di kawasan tersebut terlalu tinggi, dan menurut pakar, tidak mustahil insiden serupa akan berlaku lebih kerap di negara ini.

Digambarkan oleh penduduk setempat sebagai “tsunami kecil”, fenomena kepala air itu yang didakwa sesetengah pihak sebagai akibat aktiviti pembalakan, juga diyakini pakar ada kaitan dengan pemanasan global yang menyumbang kepada perubahan iklim yang kini berlaku di seluruh dunia.    

Ketidaktentuan sistem iklim dan cuaca dunia hari ini  jelas mempengaruhi pola suhu, hujan, kelembapan sehingga mencetuskan bencana alam yang semakin kerap dan ekstrem.

Kadar intensiti hujan yang tinggi  bukan sahaja  berlaku di Malaysia tetapi turut direkodkan di negara-negara lain dan menyebabkan banjir besar serta tanah runtuh, antaranya di wilayah Henan, China, selatan Jerman,  Belgium, Switzerland, Luxembourg, Belanda, Austria serta Turki yang mengorbankan ratusan nyawa serta kemusnahan harta benda pada Julai dan Ogos tahun ini.

Selain itu, gelombang haba melampau dengan suhu mencecah 50 darjah Celsius di beberapa negara mencetuskan bencana kebakaran hutan membabitkan keluasan jutaan hektar, antaranya di Amerika Syarikat, Kanada, Greece dan Turki.

Menurut Laporan Penilaian Perubahan Iklim ke-6 yang dikeluarkan oleh Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 9 Ogos, pemanasan global akibat pelepasan gas rumah hijau (GHG) telah meningkatkan suhu purata dunia melebihi 1.1 darjah Celsius berbanding pada zaman praperindustrian Eropah.

Kemarau akibat pemanasan global turut membawa kepada kebakaran besar-besaran di negara-negara di Eropah, Amerika Syarikat dan benua Asia Selatan.

Malah, IPCC turut menjangkakan suhu dunia meningkat 1.5 darjah Celsius atau lebih dalam tempoh 20 tahun akan datang, dan antara kesannya ialah cuaca lebih ekstrem yang menyebabkan peningkatan gelombang haba, musim panas lebih panjang dan musim sejuk lebih singkat.

Kesan perubahan iklim ini berbeza mengikut wilayah, misalnya ada kawasan akan mengalami peningkatan kadar purata hujan yang tinggi sekali gus menyebabkan banjir, sementara wilayah lain pula mengalami kemarau yang teruk. 

Selain itu, pemanasan global akan menyaksikan peningkatan paras laut  yang berterusan setiap tahun dan akibatnya kejadian hakisan lebih teruk selain menjejaskan menjejaskan ekosistem marin.

Cuaca lebih ekstrem

Pakar meteorologi Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata kekerapan kejadian cuaca ekstrem dijangka terus  meningkat di dunia, khususnya ribut petir dan taufan.

“Ini kerana apabila atmosfera panas, ia boleh menyimpan lebih banyak wap air atau haba pendam, dan bila banyak wap air maka lebih banyaklah lagi haba pendam dan ini akan merangsang (meningkatkan lagi) kuasa ribut petir yang dijana,” katanya menerusi e-mel kepada Bernama.

Dalam konteks Malaysia, beliau berkata disebabkan negara ini terletak di kawasan tropika lembap, cuacanya amat dipengaruhi oleh kejadian ribut petir dan peningkatan suhu atmosfera menyebabkan lebih banyak wap air disimpan, sekali gus meningkatkan kuasa ribut petir yang seterusnya merangsang hujan lebih lebat dan angin yang lebih kuat.

“Berasaskan logik ini, cuaca ekstrem khasnya hujan yang dulu mempunyai ‘return period’ (Kala Kembali Purata) satu hingga 50 tahun mungkin akan berlaku lebih kerap antara satu hingga 20 tahun,” jelas beliau. 

(Kala Kembali Purata (KKP) merujuk kepada selang masa untuk kejadian tersebut berulang). 

Inilah yang berlaku dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai, Yan baru-baru ini yang dijelaskan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air  Datuk Seri Zaini Ujang sebagai berpunca daripada taburan hujan luar biasa dengan keamatan tinggi di sekitar Gunung Jerai, iaitu 91 milimeter (mm) untuk tempoh satu jam serta KKP melebihi 70 tahun.

Azizan seterusnya mengesyorkan beberapa langkah bagi mengurangkan impak perubahan cuaca ekstrem tersebut terhadap kehidupan manusia, antaranya pelaksanaan strategi untuk mitigasi banjir.

“Aspek perancangan pembangunan perlu mengambil kira perancangan saliran seperti kelebaran dan kedalaman parit di kawasan bandar untuk menampung jumlah hujan yang dijangka lebih lebat pada masa hadapan.

“Begitu juga perancangan bangunan awam yang dijangka hayatnya 50 tahun ke atas, (perancangan) mestilah mengambil kira perubahan iklim seperti kenaikan paras air laut atau paras air banjir maksimum yang dijangka, supaya bangunan dapat direka bentuk bagi mengelak daripada rosak atau terjejas bila cuaca ekstrem  seperti banjir melanda,” katanya.

 Kesan peningkatan paras air laut

Azizan yang merupakan Pengarah Pusat Kebangaan Penyelidikan Antartika, Universiti Malaya,  menjelaskan peningkatan paras air laut akan memberi kesan besar kepada kehidupan manusia terutama mereka yang tinggal berhampiran zon pantai.
Sekiranya air  laut naik dan melimpah,  akan berlaku  masalah penerobosan air garam atau saltwater intrusion yang akan menjejaskan kehidupan manusia, terutama aktiviti pertanian di kawasan berdekatan.

Mengambil  contoh Yan yang terletak berhampiran pantai, beliau berkata pertanian di kawasan itu akan terkesan dengan fenomena tersebut, terutama kegiatan penanaman padi berikutan tanihnya (lapisan tanah yang subur di bawah lapisan paling atas) menjadi lebih masin.

Sehubungan itu katanya, jabatan berkenaan perlu melakukan inovasi secara berterusan agar benih padi yang ditanam kawasan berdekatan pantai lebih berdaya tahan terhadap tanih yang lebih masin.

“Sumber air juga perlu dipelbagaikan, contohnya dengan  mengambil air minuman daripada air bawah tanah seperti  akuifer air mineral sekarang untuk menampung air sungai. Banyak perancangan yang boleh dibuat untuk membina  daya tahan  sistem sosioekonomi  negara dan masyarakat terhadap perubahan iklim,” katanya.

Tegas beliau, pendekatan kerajaan yang selama ini hanya menumpukan kepada daratan bumi juga harus diubah dengan turut melihat peranan ekosistem pesisir dan laut, khususnya dalam bajet karbon Malaysia, kerana ekosistem itu berperanan besar  sebagai penyumbang kepada ekonomi dan sekuriti makanan.

Katanya sebagai sebuah negara maritim dengan keluasan laut yang berganda besar berbanding daratan, Malaysia harus mengambil kira isu karbon biru  atau penyerapan karbon dioksida  oleh lautan di sekeliling negara untuk disenaraikan dalam kuota pelepasan karbon dioksida Malaysia.

“Peningkatan suhu laut dan juga pengasidan akan memberi kesan kepada produktiviti primer laut, khususnya kepada perikanan dan juga terumbu karang.

“Kita patut memulakan pencerapan sea state (keadaan permukaan laut) kawasan negara untuk mendapat base line (garis dasar) keadaan Laut China Selatan, Selat Melaka dan Laut Andaman. Tapi bagaimana ingin mencerap perubahan kalau tidak ada makluman base line? Banyak cabaran yang timbul berkait dengan kekurangan pencerapan laut, khasnya laut dalam kita,” katanya.

Mengulas tentang laporan IPCC tentang perubahan iklim kesan cuaca lebih panas antara 1.5 dan 2 darjah Celsius pula,  Azizan  berpendapat julat suhu itu  tidak menukar status quo tamadun manusia atau mengubah ekosistem dengan banyak.

Namun, jika pelepasan GHG melebihi ketumpatan 400 ppm (bahagian per juta) ke 800 ppm yang akan meningkatkan suhu global kepada 4.0 darjah Celsius atau lebih, keadaan itu akan menukar sepenuhnya ekosistem dan sosioekonomi ke suatu keadaan  baharu yang belum lagi dilalui tamadun manusia dan seterusnya  menjadi krisis iklim, jelasnya.

Selagi  bukan krisis iklim,  Azizan optimis masyarakat umum mampu menangani bencana yang berlaku apabila mereka semakin biasa dan peka dengan fenomena berkenaan.

Sebagai contoh masyarakat di pantai timur Semenanjung  yang sudah terbiasa dengan banjir tahunan pada penghujung tahun.

“Namun isu akan timbul apabila  banjir tersebut di luar jangkaan pengalaman masyarakat tempatan seperti banjir besar 2014.

“Jadi perancangan mesti dibuat untuk mendidik masyarakat umumnya agar lebih berdaya tahan dengan perubahan iklim yang berlaku,” katanya.

Menurutnya,  saintis sependapat bahawa sasaran pemanasan yang kurang menjejaskan ialah pada julat 1.5 dan 2.0 darjah Celsius dan ini adalah sasaran pengurangan pelepasan GHG dunia. Namun, sasaran itu masih belum tercapai dan inilah yang sebenarnya krisis iklim yang sedang dihadapi manusia.

Azizan berkata kemajuan teknologi khususnya dalam planetary geoengineering boleh mengurangkan suhu global, namun krisis iklim tidak boleh ditangani secara bersendirian, sebaliknya dunia memerlukan paradigma baharu untuk bersama-sama mendukung planet ini dengan menjaga kelestarian alam sekitar bumi.

(Geongineering merujuk kepada intervensi berskala besar terhadap sistem semula jadi bumi bagi menangani perubahan iklim) 

Mantapkan sistem amaran hujan

Pandangan itu turut dipersetujui pensyarah di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman yang berpendapat aktiviti manusia menjadi penyumbang utama peningkatan kepekatan GHG yang akan mempengaruhi suhu bumi.

Ini berlaku apabila haba yang masuk ke dalam sistem iklim lebih tinggi berbanding yang dilepaskan ke angkasa, dan di Malaysia kesannya boleh dilihat menerusi ketidaktentuan sistem iklim dan cuaca, jelas beliau.

Antaranya, curahan hujan tidak lagi tetap mengikut musim malah kadangkala ekstrem sehingga menyebabkan peningkatan kekerapan bencana banjir dan tanah runtuh seperti yang berlaku di Yan, Kedah.

Haliza berkata kadar hujan tidak menentu dengan jumlah yang sukar dijangka akan mengganggu corak kegiatan ekonomi seperti sektor pertanian yang seterusnya mempengaruhi pendapatan petani dan kemandirian mereka yang akhirnya memberi impak kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara.

Bagaimanapun ada langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan impak ketidaktentuan cuaca seperti mengukuhkan lagi sistem amaran awal bencana dan melakukan pemetaan kawasan yang berpotensi mengalami bencana, katanya.

“Sistem amaran hujan telah mencukupi cuma perlu dimantapkan, khususnya sistem penyampaiannya kepada pihak berkepentingan lain yang ‘bermasalah’.

“Tambahan pula, di negara khatulistiwa seperti Malaysia, berlaku apa yang kita panggil cuaca awan perolakan. Adakalanya kita baru hendak mengesan, nak keluarkan amaran, tetapi cuacanya sudah tamat.

Adakalanya kita tidak sempat hendak keluarkan amaran. Ini antara kesukaran dalam meramal faktor cuaca seperti hujan bagi kawasan yang kecil seperti di Yan, Kedah,” katanya.

Justeru, semua agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana harus memperkemaskan lagi sistem amaran awal bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dapat ditingkatkan. – Bernama