Bersedia hadapi kebakaran

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya kebakaran dan keselamatan mengenai cuaca yang tidak menentu, Taklimat Keselamatan Umum, Life Saver 995, Mengangkat Mangsa dan Cara Menggunakan Alat Pemadam Api telah diadakan bagi seramai 394 orang pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), kelmarin.

Penyampaian taklimat telah berlangsung di Kem Latihan PKBN, Kampung Batu Apoi, Daerah Temburong,

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi G, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, taklimat dikendalikan oleh anggota dari Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi G, JBP.

Semasa taklimat itu, para peserta diberikan penerangan mengenai keselamatan umum, Life Saver 995, pengosongan bangunan, mengangkat mangsa serta tunjuk cara menggunakan alat pemadam api yang betul mengikut jenis.

Menerusi aktiviti berkenaan, ia diharap dapat memupuk rasa bertanggungjawab dan mengambil berat tentang aspek-aspek keselamatan kebakaran di dalam bangunan serta membolehkan interaksi, kerjasama dalam kerja berpandukan dalam bertindak semasa kecemasan.

Dalam kenyataan itu juga, JBP menyarankan bahawa kebakaran boleh berlaku pada bila-bila masa, oleh itu, meningkatkan kewaspadaan dan mengambil langkah-langkah keselamatan semasa cuaca tidak menentu, memastikan pemasangan dan penyambungan pendawaian elektrik dibuat oleh orang yang berkemahiran dan diiktiraf atau bertauliah serta mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

Orang ramai juga disarankan supaya sentiasa meningkatkan pencegahan kebakaran, tidak merasa cemas sekiranya berlaku sebarang kecemasan dan menghubungi talian kecemasan bomba 995 dengan memberikan maklumat yang tepat.

Anggota bomba dan penyelamat dari Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi G, bergambar ramai dengan para peserta PKBN.
Anggota bomba dan penyelamat membuat tunjuk cara menggunakan alat pemadam api kepada para peserta PKBN.