Bersedia hadapi tsunami digital

KOTA KINABALU, 17 Mei – Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah meminta agar semua penjawat awam sentiasa bersiap siaga menghadapi tsunami digital yang kini telah mengubah landskap perkhidmatan awam di negara ini.

Beliau berkata bagi memastikan agar penjawat awam sentiasa bersedia dengan ledakan teknologi berkenaan, penjawat awam di pelbagai peringkat perlu diberikan pendedahan serta dilengkapkan dengan keupayaan dan kemahiran digital.

“Oleh itu, kerajaan telah melancarkan ‘Digital Competency and Capability Readiness’ (DGCCR) Sektor Awam baru-baru ini. DGCCR merupakan satu inisiatif kerajaan yang dirangka untuk membangunkan kompetensi dan keupayaan digital penjawat awam dalam usaha memberi penyampaian terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan DGCCR Zon Sabah di sini hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Persekutuan Sabah Nor Azri Zulfakar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Hashim Paijan.

Mengulas lanjut, Borhan berkata rangka DGCCR berkenaan memberi penekanan kepada pemantapan lapan keupayaan individu dan 17 keupayaan organisasi yang diharapkan dapat menghasilkan pegawai awam yang berpengetahuan bagi menghadapi keperluan kerajaan di masa akan datang.

“DGCCR dirangka untuk berupaya membawa perubahan secara efektif dan menyumbang ke arah kecemerlangan sesebuah organisasi melalui penjawat awam yang berminda digital. Ini seterusnya akan memberikan impak yang tinggi terhadap kualiti perkhidmatan yang bertepatan dengan keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata Zon Sabah adalah yang pertama dipilih untuk melancarkan DGCCR dan pihaknya akan  mengadakan acara seumpama itu di seluruh negara. – Bernama