Tuesday, August 16, 2022
23.6 C
Brunei

Bersedia sertai Piala Futsal Brunei

-

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Persatuan Bolasepak Brunei Darussalam (FABD) menggesa kelab-kelab futsal tempatan supaya bersedia bagi Piala Futsal Brunei 2022 yang akan diadakan pada bulan depan.

Presiden FABD, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan dalam ucapan alu-aluannya semasa majlis pengundian di Dewan Serbaguna, Rumah FABD hari ini, berkata, “Pertandingan futsal terpaksa dibatalkan pada tahun lalu kerana pandemik COVID.

“Walau bagaimanapun, kami telah ambil maklum bahawa futsal akan menjadi salah satu pertandingan yang akan dianjurkan oleh Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dan juga pada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC),” tambahnya.

“FABD telah membuat beberapa persiapan yang sesuai dan kemas. Ahli jawatankuasa telah bersidang dan membuat persiapan untuk mengadakan pertandingan futsal bagi melihat sejauh mana persiapan pasukan tempatan kitani sebelum menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

Sementara itu, juara bagi Piala Futsal Brunei akan mewakili negara dalam Kejohanan Kelab Futsal AFF yang akan datang, di mana ia akan dihoskan oleh Thailand.

Pengiran Haji Matusin semasa menyempurnakan majlis pengundian kumpulan untuk Piala Futsal Brunei yang bakal berlangsung Julai ini.

“AFF akan mengadakan Kejohanan Kelab Futsal AFF. Oleh yang demikian, Piala Futsal Brunei akan menjadi platform dalam mempersiapkan dan memilih kelab yang menang untuk mewakili negara.

“Adalah lebih penting untuk para pasukan membuat persiapan rapi agar dapat mewakili FABD sekali gus Brunei Darussalam,” kata presiden FABD.

FABD juga berharap pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini akan memberikan fokus penuh dalam perlawanan dan menghasilkan prestasi yang boleh dibanggakan.

Sebanyak 16 pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan yang terdiri daripada empat pasukan di dalamnya. Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan mara ke perlawanan kalah mati yang akan bermula pada perlawanan suku akhir nanti.

Pada hari ini, pasukan yang menyertai sudah pun mengetahui penempatan mereka selepas acara undian pasukan.

Bagi kumpulan A terdiri daripada pasukan MS ABDB, Shah United, GG FT dan Creativol. Manakala bagi kumpulan B, terdiri daripada pasukan BIBD, Kasuka atau Ar Rawda, RS FT dan DD FT.

Kumpulan C pula terdiri daripada pasukan Kota Ranger, Almerez, Silveredz FT dan PES. Manakala itu, Arbisyam FC, Street United, Syahkampong FT dan Qahar FT akan mewakili kumpulan D.

Kejohanan tersebut akan bermula pada 2 Julai dan dijangka melabuh tirai pada 19 Julai depan.

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Lelaki lepas 5 das tembakan di lapangan terbang ditahan

SYDNEY, 14 OGOS – Seorang lelaki bersenjata melepaskan lima das tembakan di lapangan terbang utama Canberra hari ini, menyebabkan penumpang melarikan diri tetapi tidak...
- Advertisment -