Bersediakah kita terima dos ketiga vaksin COVID-19?

KUALA LUMPUR – “Kalau untuk petugas barisan hadapan, pengambilan dos ketiga itu memang wajib. Bukan setakat perlu, tetapi wajib”.

Demikian pendapat Nurashikin Azhari, 37, seorang jururawat yang bertugas di sebuah hospital di Ampang dekat sini ketika ditanya mengenai dos ketiga atau dos penggalak vaksin COVID-19. 

“Kita kerja hospital. Kita tahu risiko sebelum dan selepas mendapat vaksin,”  katanya kepada Bernama.

Jelasnya lagi, sebagai barisan hadapan, petugas kesihatan sangat terdedah kepada jangkitan COVID-19 kerana berhadapan dengan virus itu setiap hari sehinggakan dari simptom pesakit, kebanyakan sudah dapat mengagak sama ada pesakit tersebut sudah divaksin atau sebaliknya.

Bagi peniaga Norlizah Edywarman, 21, pula, beliau bersetuju mendapatkan dos penggalak bukan sahaja untuk melindungi dirinya serta orang lain, malah sebagai ‘lesen’ untuk balik ke kampung dengan lebih yakin.

“Saya pun sudah lama tidak balik ke Terengganu. Kalau dikatakan selepas dos ketiga itu dibenarkan untuk balik kampung saya sedia ambil. Ada quote KKM jugakan #kitajagakita. Ambillah vaksin supaya kita boleh nikmati kelonggaran SOP,” katanya. 

Bagi petugas barisan hadapan pemberian dos penggalak adalah satu kemestian kerana mereka sangat terdedah kepada jangkitan COVID-19 dan berhadapan dengan virus itu setiap hari. – Bernama
Seorang penduduk Malaysia diberikan suntikan vaksin. Di Malaysia, pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin COVID-19 dijangka mula diberikan pada Oktober untuk golongan rentan dan berisiko dijangkiti COVID-19. – Bernama

Namun bagi Cheah Woei Ming, 51, beliau masih was-was mengenai pemberian dos penggalak ini kerana ia sesuatu yang masih baharu.

Katanya kerajaan perlu memberikan data dan maklumat yang terperinci mengenai pemberian dos tersebut terlebih dahulu kepada orang awam.

“Iya, sudah tentu (saya sanggup), tetapi beri kami lebih data (tentang keperluan mendapatkan dos ketiga). Baru kami boleh buat keputusan,” kata Cheah, seorang pekerja di sektor pembinaan.

Bagi Shahrul Hassan, 51, ahli perniagaan dari Johor Bahru, beliau melihat pemberian dos ketiga penting dalam memberi perlindungan tambahan terutama kepada golongan berisiko tinggi serta berharap ia kekal percuma.

Pada 19 September lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin COVID-19 untuk golongan rentan dan berisiko dijangkiti COVID-19 yang dijangka bermula Oktober ini.

Golongan itu termasuk warga emas dengan komorbiditi seperti mempunyai masalah kesihatan kronik, petugas barisan hadapan, individu kurang daya tahan imun (immunocompromised) serta mereka yang tinggal dan bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

Kementerian Kesihatan (KKM) belum membuat keputusan sama ada dos penggalak itu akan diberikan kepada semua individu di negara ini.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam, Prof Madya Dr Malina Osman berkata inisiatif kerajaan memberikan dos penggalak COVID-19 ini adalah langkah yang sangat baik bagi mengelakkan kluster-kluster baharu, apatah lagi berdepan dengan kemungkinan adanya mutasi virus pada masa akan datang. 

“Pada pendapat saya, tiada isu berkenaan dos penggalak kerana keputusan kerajaan berdasarkan data-data semasa. Cuma saya minta kerajaan melihat juga data di negara Indonesia dan India. Mengapa mereka boleh turunkan kes walaupun mereka tidak ada dos penggalak?

“Ini untuk kita menepis provokasi-provokasi dari golongan anti-vaksin. Bukannya kita hendak mempersoalkan kerajaan, tetapi supaya kerajaan bersedia untuk menjawab isu-isu yang berkaitan,” jelasnya.

Beliau juga berkata tiada masalah sekiranya pemberian jenis vaksin berbeza daripada dos sebelumnya kerana kajian menunjukkan campuran vaksin menghasilkan respons yang lebih baik.

Ditanya mengenai pemberian dos penggalak ini sebagai ‘lesen’ untuk rentas negeri, Dr Malina yang juga pensyarah Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, kebenaran rentas negeri ini tidak boleh dilihat pada pemberian vaksin sahaja namun perlu mengambil kira situasi penularan semasa.

“Kalau penularan rendah dan selamat untuk semua, tiada isu (rentas negeri). Tetapi kita tidak boleh tengok hanya pemvaksinan sahaja. Kita perlu berdasarkan data,” katanya.

Jelas Dr Malina, beberapa faktor yang perlu diambil kira termasuk kes COVID-19 kurang daripada 500, pesakit dalam hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt).

Beberapa buah negara sedang memulakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 kepada golongan rentan dan individu kurang daya tahan imun.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat hari ini membenarkan dos tambahan vaksin Pfizer Inc dan BioNTech COVID-19 untuk mereka yang berumur 65 tahun ke atas, berisiko tinggi mendapat penyakit teruk dan mereka yang kerap terdedah kepada virus COVID-19.

Singapura memulakan program penggalak vaksin nasional Covid-19 pada 15 September lalu untuk warga emas yang telah menyelesaikan rejimen vaksinasi mereka sebelum bulan Mac tahun ini dan mereka yang kurang daya tahan imun.

Begitu juga United Kingdom yang memberikan dos ketiga vaksin COVID-19 kepada individu berisiko serta yang berusia lebih dari 50 tahun bagi persiapan menghadapi musim sejuk manakala Itali telah mula memberikan dos ketiga kepada penduduknya selepas  memperoleh kebenaran daripada Agensi Ubat-Ubatan Itali (AIFA). –Bernama