Berselawat bukti rasa cinta kepada Nabi

Oleh SalawatiHaji Haji Yahya

Mengingat dan menyebut Allah adalah perkara agung lagi asasi, begitulah pula dengan mengingat-ingat dan menyebut Nabi Muhammad SAW.

Ia adalah sama penting dan asasinya dengan mengingat dan menyebut Allah sendiri, kerana dalam kehidupan kita, kedua-dua ini tidak boleh berpisah di mana ia sudah pun sedia terjalin rapat sebagai kalimah Thaibah yang wajib disebut pada setiap hari dalam sembahyang iaitu Dua Kalimah Syahadat. Begitu tersendiri atau istimewanya Nabi Muhammad SAW itu.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned semasa menyampaikan ceramah Bersama Mufti bertajuk Rasulullah Kekasih Allah, Kekasihku Dunia Akhirat yang disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, ketika umat Islam sekarang serba kekurangan, termasuk dianggap lemah adalah penting untuk kita membuka lembaran kisah Nabi Muhammad SAW.

Ini khusus yang berlaku ketika awal kenabian di mana pada masa itu Islam masih saja asing dan penganutnya juga baharu segelintir yang menjadikan umat Islam dengan sendirinya memang lemah.

“Tetapi siapa dia Nabi Muhammad SAW dalam keadaan seperti ini? Kalau Baginda itu orang biasa, tentu sahaja boleh digambarkan, beliau tidak akan ke mana-mana, dalam makna, tidak akan berbuat apa-apa, kerana takut untuk berhadapan menghadapi golongan penentang yang sangat besar lagi kuat. Tetapi Nabi Muhammad SAW, tidak demikian itu, malah Baginda tetap menjalankan kewajipan, mengajak manusia untuk menyembah Allah,” tekannya.

Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz semasa menyampaikan ceramah Bersama Mufti bertajuk Rasulullah Kekasih Allah, Kekasihku Dunia Akhirat yang disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei. – Gambar serahan Jabatan Mufti Kerajaan

Sembilan tahun lamanya setelah menerima tugas kenabian, Baginda jelas Yang Berhormat Pehin terus tabah dan tidak sekali-kali berundur dari melaksanakan dakwah, walaupun cuma dibantu oleh sekumpulan kecil pengikut Baginda.

Di samping mendapat dukungan padu daripada penganut-penganut Islam yang berjumlah sangat sedikit itu, Baginda juga bernasib baik mendapat simpati daripada bapa saudara Baginda, Abu Thalib, walaupun tidak memeluk Islam, Abu Thalib tetap mempertahankan nabi.

Nabi SAW mengambil sikap untuk cuba mendapatkan pengikut di luar Mekah. Baginda melihat, Thaif yang jaraknya 87km dan dari Mekah adalah satu tempat yang penting untuk didatangi bagi menyampaikan dakwah.

Di sini terdapat kabilah bernama Tsaqif yang bilangan anggotanya dilihat ramai.

Sekiranya kabilah ini menerima Islam, sudah tentu akan besar sumbangannya kepada Islam. Tetapi malang, tidak ada respons positif daripada pembesar-pembesar kabilah tersebut malah mereka bukan sahaja menolak ajakan Baginda tapi menjawab dengan kata-kata kesat dan kasar.

Setelah Baginda gagal meyakinkan pembesar-pembesar kabilah ini, Baginda beralih pula kepada orang awam dan keadaan adalah sama saja. Tidak ada seorang pun yang mahu menerima ajakan yang bukan saja tidak menerima tapi menghalau Baginda.

Sedang Baginda berundur untuk pulang semula ke Mekah, penduduk Thaif menghantar kanak-kanak untuk mengejar, mengejek, mempersenda dan melontari Nabi SAW dengan batu, sehingga kedua-dua kasut Baginda berlumuran darah oleh kerana luka-luka yang dialami. Namun Baginda tetap tenang dan sabar.

Apabila Baginda sudah selamat, terlepas daripada pengacau-pengacau tersebut, maka Baginda pun berdoa. Sebaik berlepasnya doa ini kepada Allah, maka Malaikat Jibril Alaihissalam pun turun membawa berita, katanya, “Allah SWT telah mendengar perbualan tuan dengan kaum ini, wahai Muhammad! (Dan ketahuilah), Allah juga telah menghantar malaikat yang bertanggungjawab ke atas gunung-ganang untuk melakukan apa saja yang tuan mahu.”

Tetapi Baginda SAW menolak tawaran itu dan inilah akhlak mulia nabi kita. Walaupun peluang sudah terbuka untuk membalas kejahatan kaum yang telah menyakiti dan menghinakan Baginda, namun Baginda jelas Yang Berhormat Pehin tidak mahu melakukannya dan menolak tawaran malaikat untuk menghukum kaum ini dengan kebinasaan.

Baginda sanggup bersabar menantikan anak cucu kaum tersebut akan menganut Islam juga di suatu masa kelak.

“Inilah harapan suci seorang nabi dan di hatinya semata-mata niat bersih tanpa sebarang dendam, sekalipun sudah pernah dihina dan disakiti,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Tambah Yang Berhomat Pehin seterusnya menjelaskan nabi berbeza dengan orang biasa, walau hanya sedikit pernah disakiti atau dikasari, api kemarahan spontan marak dan berazam untuk membalas dendam.

Atau paling malang lagi, jelas Yang Berhormat Pehin, ada juga berlaku sesuatu yang tidak patut berlaku, iaitu orang yang berdendam akan sentiasa mencari-cari atau malah mencipta-cipta alasan supaya orang yang didendam mendapat musibah, seperti musibah fitnah atau dizalami dan seumpamanya, sebagai cara untuk memuaskan hati.

Di dunia, orang macam ini, tegas Yang Berhormat Pehin, mungkin saja boleh ketawa semahunya, tapi di akhirat tidak kerana dosa menyebar fitnah atau dosa melakukan kezaliman adalah dosa yang sangat-sangat berat di sisi Allah.

Selain itu Baginda sendiri amat penyabar dan bersikap tidak pernah mendendam sesiapa walaupun terhadap orang yang paling jahat terhadap Baginda iaitu orang Yahudi yang beberapa kali pernah mencuba untuk membunuhnya, maka demikian itulah juga, katanya sifat dan sikap ini turut sama dimiliki oleh para sahabat Baginda.

Menyentuh mengenai tema Sambutan Maulud Nabi SAW pada tahun ini iaitu Rasulullah Kekasih Allah, Kekasihku Dunia Akhirat, adalah untuk melihat kasih terhadap Nabi SAW, Yang Berhormat Pehin menegaskan kita mesti bercontoh kepada para sahabat, kerana merekalah yang sebenar-benar pencinta terhadap Nabi SAW.

Adapun kita yang hidup selepas Baginda dan selepas para sahabat, jelasnya, tidak memahami dan tidak tahu apa-apa bagaimana cara mencintai Nabi Muhammad SAW itu.

Jadi mahu tidak mahu, tegasnya kita mestilah belajar dari sejarah para sahabat bagaimana mereka itu mencintai nabi, apa yang sudah mereka itu buat atau fikir atau rasa atau rancang untuk membuktikan cinta mereka terhadapnya.

Qadhi ‘Iyadh Rahimahullah, kata Yang Berhormat Pehin telah berkata, sesiapa yang mengasihi sesuatu, dia mestilah mengutamakan kekasihnya itu, lebih dari yang lain-lain. Inilah makna cinta sebenar.

Jika tidak, bukanlah itu cinta, melainkan ia hanyalah pengakuan semata-mata dan tambah beliau, tanda paling penting mencintai Rasulullah SAW ialah mengikuti jejak langkah Baginda, mencontohi cara hidup dan tutur kata Baginda.

Selain itu mematuhi perintah-perintah, menjauhi larangan-larangan dan berjalan atas landasan yang dijalani oleh Baginda, sama ada ketika senang mahupun ketika susah, ketika sempit atau lapang juga merupakan tanda mencintai Baginda.

“Kita perlu mengenali para sahabat, menyingkap sejarah mereka, kerana merekalah yang benar-benar mengalami dan bergaul dengan Baginda, dan dari pergaulan itulah kita dapat mengetahui sejauh mana dukungan dan kecintaan mereka itu terhadap Nabi SAW,” tegasnya.

Menurut Yang Berhormat Pehin, Allah telah menyediakan beberapa wadah untuk kita lalui sehingga kita boleh sampai ke sasaran mencintai nabi itu iaitu terdapat pada ayat-ayat Al-Quran.

Merujuk ayat tersebut, Yang Berhormat Pehin menjelaskan, bahawa berlakunya perkara mentaati Allah dan rasul itu berpunca dari dorongan rasa cinta, tidak akan lahir ketaatan tanpa adanya cinta.

Cintalah, menurutnya pencetus ketaatan bagi seorang hamba terhadap Khaliq dan rasulNya.

Taat di sini, tegasnya bererti mengikut semua suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah dan Rasul, dan apabila ada ini, itulah bukti cinta telah dikota.

Satu lagi wadah dari Al-Quran, jelas Yang Berhormat Pehin ialah ayat 56 Surah Al-Ahzab yang maksudnya:

“Ini juga wadah benar-benar menuju tepat kepada Nabi SAW di mana wadah ini malah digunakan oleh Allah sendiri dan para malaikatNya dalam memberikan penghormatan khusus kepada Nabi SAW.

“Kemudian kita orang-orang beriman juga tidak ketinggalan sama-sama disuruh untuk menggunakan wadah ini iaitu berselawat ke atas Baginda SAW,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, tidak diragukan lagi, selawat adalah bukti penghormatan dan cinta Allah kepada Baginda dan bukti penghormatan dan cinta malaikat kepada Nabi.

Kita orang-orang beriman juga tidak terkecuali dituntut oleh Allah supaya membuktikan penghormatan dan cinta kita terhadap Baginda, juga dengan mengucapkan selawat ke atasnya.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan bahawa menurut hadis, berselawat bukan bertepuk sebelah tangan tapi seseorang berselawat, maka malaikat di langit pun berselawat ke atasnya.

“Begitu, Allah memuliakan orang yang menzahirkan cintanya ke atas nabi melalui selawat. Selawat daripada Allah ertinya rahmat dan daripada yang lain-lain adalah doa,” tegas Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, Nabi SAW bersabda barangsiapa yang berselawat ke atas nabi sekali sahaja, Allah berselawat ke atasnya 10 kali, bererti turun 10 rahmat Allah untuk orang itu.

Dalam perkara untuk menyampaikan hajat, Yang Berhormat Pehin menjelaskan Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Barangsiapa berselawat ke atasku sehari 100 kali, ditunaikan oleh Allah hajatnya 100 hajat: 70 hajat di akhirat dan 30 lagi hajat di dunia.”