Berselawat ke atas Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

SIRI 1

RASULULLAH Sallallahu ‘alaihi Wasallam adalah rasul dan pemimpin Islam yang menjadi kesayangan umat Islam. Di zaman Baginda, umat Islam, terutama para sahabat, sanggup bergadai nyawa untuk melindungi Baginda serta berjuang bersama Baginda membela Islam, taat menurut perintah Baginda serta amat bersedih dengan kewafatan Baginda.

Rasa kecintaan yang mendalam terhadap Baginda Sallalalhu ‘alaihi Wasallam pada ketika itu berterusan sehingga ke hari ini dan sampai bila-bila. Ia tersemat kuat di dada umat Islam yang beriman, malahan dinyatakan dengan melaksanakan apa yang diperintah oleh Baginda Sallallahu ‘alaihi Wasallam dan meninggalkan apa yang dilarangnya.

Berselawat ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam juga merupakan satu penyataan rasa cinta kita kepada Baginda. Selawat ke atas Baginda ini bukan hanya sebagai pujian umat Islam serta rasa pengagungan untuk Baginda kerana kedudukan Baginda yang tinggi di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala, bahkan suatu tuntutan yang merupakan rangkaian iman.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya, “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya bershalawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi; Wahai orang-orang yang beriman! Bershalawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab: 56)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala memuliakan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam sama ada ketika hayat mahupun sesudah Baginda wafat. Begitu juga Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan orang-orang yang beriman untuk turut sama memuliakan Baginda Sallallahu ‘alaihi Wasallam.

Adapun maksud Allah Subhanahu wa Ta‘ala bershalawat ke atas Baginda Sallallahu ‘alaihi Wasallam ialah Allah melimpahkan dan mengurniakan rahmat dan keredhaanNya kepada Baginda. Selawat para malaikat ke atas Baginda pula bermaksud permohonan doa dan keampunan. Manakala selawat daripada umat Islam ke atas Baginda pula bermaksud permohonan doa dan mengagungkan kedudukan Baginda.

Kelebihan bagi yang berselawat ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam

Banyak disebutkan di dalam hadis-hadis mengenai kelebihan-kelebihan yang dikurniakan kepada orang-orang yang berselawat ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam. Antaranya:

1) Mendapat kedudukan yang utama di sisi Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam pada hari kiamat kelak

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Seutama-utama manusia di sisiku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat ke atasku.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Apa yang dimaksudkan dengan “seutama-utama manusia di sisiku” di dalam hadis di atas adalah manusia yang paling dekat dengan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam atau manusia yang berhak mendapat syafa‘at daripada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam adalah orang yang membanyakkan shalawat ke atas Baginda Shallallahu’alaihi wasallam.

2) Mendapat syafa‘at Baginda pada hari kiamat kelak

Diriwayatkan daripada Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Barangsiapa yang bershalawat ke atasku di waktu pagi sebanyak sepuluh kali dan di waktu petang sebanyak sepuluh kali, ia mendapat syafa‘atku pada hari kiamat.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)

3) Digandakan pahala berselawat

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Barangsiapa yang bershalawat ke atasku sekali, Allah akan bershalawat ke atasnya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis di atas bermaksud bahawa sesiapa yang bershalawat ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam sebanyak satu kali, maka Allah mengurniakan kepadanya rahmat dan melipatgandakan pahalanya.

Amaran kepada orang yang malas berselawat ke atas Baginda

Turut disebutkan di dalam beberapa hadis mengenai orang yang tidak berselawat ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam pada beberapa keadaan yang disunatkan untuk berselawat.

1) Bakhil tidak bershalawat apabila disebut nama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam

Diriwayatkan daripada Saidina ‘Ali Karramullahu wajhah, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Orang yang bakhil adalah orang yang apabila (nama)ku disebut di sisinya, maka dia tidak bershalawat ke atasku.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

2) Dicela tidak berselawat apabila disebut nama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Celaka seseorang, (apabila nama) ku disebut di sisinya, maka dia tidak berselawat ke atasku, ………” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

3) Tidak diangkat doa yang dipohonkan jika tidak dimulai dan disudahi dengan selawat.

Diriwayatkan daripada ‘Umar bin al-Khattab Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya, “Sesungguhnya doa itu terhenti antara langit dan bumi, tidak terangkat sesuatupun (yang dipohonkan dalam doa itu) sehingga engkau berselawat ke atas Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasalam.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Menurut asy-Syaikh Abu Sulaiman ad-Darani Rahimahullah: “Apabila aku memohon hajat kepada Allah, aku mulakan dengan berselawat ke atas Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam, kemudian aku meminta apa yang aku mahukan, kemudian aku menyudahi permohonan itu dengan berselawat ke atas Baginda. Ini kerana Allah Subhanahu dengan kemuliaan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam menerima kedua selawat (pada pemulaan dan penyudah doa).”

Cara Berselawat ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam ada mengajarkan umat Islam beberapa cara berselawat ke atas Baginda dalam hadis-hadis yang diriwayatkan daripada para sahabat Radhiallahu ‘anhum.

1) Diriwayatkan daripada Abu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu, dia berkata: “Kami telah menemui Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam dan pada ketika itu kami dalam majlis Sa‘ad bin Ubadah. Lantas Basyir bin Sa‘ad berkata kepada Rasulullah Sallalalhu ‘alaihi Wasallam: “Allah telah memerintahkan kami untuk bershalawat kepadamu, ya Rasululllah! Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam menjawab: “Katakanlah:

Maksudnya: “Ya Allah, kurniakanlah shalawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan shalawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan kurniakanlah barakah kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan barakah kepada Ibrahim. Sesungguhnya Engkau adalah zat yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia pada sekalian alam.” (Hadis riwayat Muslim)

2) Diriwayatkan daripada ‘Abdurrahman bin Abu Laila, dia berkata: “Ka‘ab bin ‘Ujrah pernah bertemu dengan saya, lalu berkata: “Mahukah kamu jika aku hadiahkan kepadamu sebuah hadiah yang aku dengar dari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam?” Kemudian aku menjawab: “Ya, saya suka hadiah itu.” Lalu Ka‘ab bin Ujrah berkata: “Pada suatu hari aku pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam: Ya Rasulullah, bagaimana Ahlul Bait (keluarga Baginda) berselawat kepadamu? Dan Allah telah mengajar kami bagaimana untuk bersalam.” Apabila mendengar pertanyaan itu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam menjawab: “Katakanlah begini:

Maksudnya: “Ya Allah, kurniakanlah shalawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Maka sesunggguhnya Engkau adalah zat yang Maha Terpuji dan Maha Mulia. Ya Allah, kurniakanlah barakah kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan barakah kepada Ibrahim dan kepada keluarga Ibrahim. Maka sesungguhnya Engkau adalah zat yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia”. (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Selawat ini juga merupakan selawat yang terlengkap yang pernah diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam kerana di dalamnya terkumpul shalawat kepada Baginda Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga Baginda, kepada Nabi Ibrahim ‘alaihissalam dan keluarganya.

3) Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, dia bertanyakan Rasulullah Sallalahu ‘alaihi Wasallam: “Ya Rasulullah, ini adalah lafaz salam untuk Tuan, maka bagaimana pula lafaz shalawat untuk Tuan?” Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:

Maksudnya: “Ya Allah, kurniakanlah shalawat kepada Muhammad, hambaMu dan rasulMu, sebagaimana Engkau telah mengurniakan shalawat kepada Ibrahim. Dan kurniakanlah barakah kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan barakah kepada Ibrahim dan kepada keluarga Ibrahim.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Bersambung minggu depan…