Bersemaraknya dakwah menerusi seni

Oleh Nurdiyanah R.

KEHIDUPAN itu bagaikan suatu titisan yang perlu direntasi oleh setiap insan di dunia yang fana ini. Oleh itu alangkah indahnya sebuah kehidupan itu jika lidah, hati, jiwa dan perbuatannya selalu mengingati Allah SWT dalam setiap masa dan waktu.

Dalam Islam, semua ibadah yang dilaksanakan semata-mata kerana Allah SWT adalah dikira zikrullah meliputi segala bentuk lisan, hati dan juga perbuatan sehingga mampu mewujudkan sebuah ketenangan dalam diri seseorang insan. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 28 sebagaimana tafsirnya:

“(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram.”

Itulah keagungan zikir jika seseorang insan itu menyemai sifat ikhlas, redha serta bertawakkal kepada Allah SWT demi meraih ketenangan jiwa yang berpaksikan keimanan yang teguh, sekali gus mencapai keredhaanNya, baik di kala susah mahupun senang.

“Kehidupan kita sememangnya tidak terlepas dari seni hiburan, namun apa yang pasti seni itu perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya agar ia tidak bertentangan atau menyalahi serta melalaikan diri.”

Ustaz Abdus Salam ditemui wartawan Minda, baru-baru ini.
Kesyukuran tetap dipanjatkan apabila karya Ustaz Abdus Salam telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari semua lapisan masyarakat antaranya golongan kanak-kanak dan generasi belia.

Ustaz Abdus Salam bersama isteri beliau yang merupakan salah seorang insan tersayang yang sentiasa memberi sokongan padu di atas pencapaian beliau selama ini.
Insan seni dakwah berketurunan Melayu dan Cina ini telah menghasilkan tiga buah album Abdussalam berbentuk cakera padat (CD) antara tahun 2016 hingga 2018 lalu dengan bantuan komposer, ahli muzik dan rakaman tempatan yang mana antara lagu yang beliau telah rakamkan ialah Doa Taubat dan Zikir, Selawat Thola Al Badru, Solatun Bissalam dan Cahaya Taubat.
Salah satu album Abdussalam yang telah dikeluarkan oleh Ustaz Abdus Salam sekitar tahun 2016 hingga 2018 yang pastinya mendapat sambutan yang amat menggalakkan oleh masyarakat di negara ini sebagai seni hiburan dakwah tanah air.

Selain menceburi dunia seni hiburan dakwah, Ustaz Abdus Salam juga merupakan seorang insan yang aktif dalam pelbagai aktiviti kerohanian lainnya seperti ceramah motivasi bagi para pelajar sebelum menduduki peperiksaan, menerima undangan persembahan keagamaan bagi majlis-majlis tertentu seperti perkahwinan dan juga selaku pegawai pengiring jemaah umrah dan haji.

“Oleh itu, dengan adanya seni zikir, selawat dan doa ini, sememangnya dihasrat untuk mendidik rohani masyarakat yang apabila mendengarnya akan dapat bersama-sama mendekatkan dan memantapkan diri untuk sentiasa mengingati Allah SWT,” itulah antara kata-kata yang disampaikan oleh seorang insan seni dakwah hiburan tempatan yang tidak asing lagi di persada seni hiburan tanah air sejak tahun 2016, Awang Azlee @ Abdus Salam bin Haji Ali atau lebih dikenali sebagai Ustaz Abdus Salam semasa ditemui wartawan Minda, baru-baru ini.

Bermula sebagai penyanyi bergenre rock

Mungkin tidak ramai yang mengetahui, penglibatan insan seni yang berasal dari Daerah Belait ini dalam dunia nyanyian tanah air sememangnya bermula sebagai seorang penyanyi yang bergenre rock sekitar tahun 1989 dan 1990 secara berkumpulan sehingga beliau pernah membuat rakaman sebanyak 20 buah lagu daripada koleksi kumpulan rock dari negara jiran menerusi cakera kaset suatu ketika dahulu.

“Meminati seni muzik nyanyian ini sememangnya bermula sejak berumur 10 tahun lagi ketika masih di bangku sekolah termasuklah dari segi kebolehan menggunakan alat muzik gitar. Inilah hiburan kami dalam mengisi masa lapang.”

“Begitu juga semasa balik ke kampung halaman (semasa cuti sekolah), kebiasaannya kami adik-beradik dan juga rakan-rakan abang saya sering memanfaatkan masa lapang dengan menyanyi lagu-lagu rock klasik sehingga pernah menyertai salah sebuah kumpulan tempatan dengan menerima tawaran undangan bagi majlis-majlis perkahwinan pada ketika itu,” ujar Ustaz Abdus Salam ketika mengimbas kenangan silam semasa menetap di asrama bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain dan kemanisan sewaktu berada di kampung halaman dengan penuh keceriaan.

Namun pada tahun 1991, apabila beliau meneruskan pengajian dalam bidang perguruan ugama, secara tidak langsung, bidang nyanyian rock tersebut terhenti begitu sahaja, akan tetapi semangat seni nyanyian itu tidak terkubur dalam jiwa beliau, namun beliau beralih dengan menjadikan amalan seni zikir dalam kehidupan sehari-hari.

Keajaiban di sebalik amalan zikir

Ustaz Abdus Salam turut menyatakan bahawa amalan zikir ini memiliki keberkatan dan kerahmatan serta keajaiban jika diamalkan dengan penuh rasa keikhlasan dan berserah kepada Allah SWT. Ini terbukti semasa beliau mengalami kemalangan jalan raya pada tahun 1994 sehingga menyebabkan kenderaan beliau remuk, terbalik dan gugur ke curam. Pada ketika itu rakan beliau mengalami kecederaan, manakala beliau telah terhumban dari kenderaan.

“Saya merasa seakan-akan ada yang membantu saya keluar dari kenderaan pada ketika itu. Saya berkeyakinan, itulah berkat keajaiban zikir keluar rumah dan menaiki kenderaan yang telah dibaca sebelumnya iaitu ‘bismillahi tawakkaltu ‘alallaahi wa laa haula wa laa quwwata illaa billah’ yang ertinya dengan menyebut nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah, dan tiada daya serta kekuatan kecuali dengan (pertolongan) Allah,” tambahnya dengan penuh keyakinan betapa besarnya rahmat pertolongan Allah SWT itu.

Amalan Al-Quran dan doa segala penawar

Manakala pada bulan Disember 2007, Ustaz Abdus Salam juga pernah mengalami ujian yang begitu berat dalam hidupnya apabila ditimpa sakit iaitu mengalami keretakan atau pecah di bahagian tengkorak kepala (skull) sehingga beliau terpaksa menjalani pembedahan tengkorak. Lebih mendukacitakan pada ketika itu, pihak doktor perubatan telah mengesahkan beliau akan mengalami efek bisu, lumpuh dan sedikit hilang ingatan tatkala beliau sembuh dari koma (tidak sedarkan diri).

“Pada ketika itu hampir selama dua bulan, saya mengalami koma. Sehingga Januari 2008 barulah saya sedar, namun tetap tidak mampu bercakap, lumpuh dan sedikit hilang ingatan. Namun saya tetap bersyukur di atas peluang kehidupan ini buat kali kedua untuk bernafas di bumi yang nyata setelah menerima ujian yang berat ini. Lebih-lebih lagi, inilah keberkatan bacaan zikir dan selawat syifa yang sentiasa dibacakan oleh isteri saya setiap hari pada bahagian anggota kepala saya sepanjang mengalami koma pada ketika itu,” jelasnya dengan nada penuh kesyukuran.

Dalam pada itu, Ustaz Abdus Salam turut menyatakan bahawa sepanjang proses penyembuhan, beliau juga telah memperbanyakkan membaca Al-Quran sehingga enam kali khatam disertai dengan amalan doa memohon segala kefasihan diri dalam setiap menunaikan sembahyang, di samping menjalani program terapi fizikal dan mental seperti cara percakapan, pergerakan dan uji minda.

“Semuanya dengan izin Allah SWT. Inilah berkat ayat-ayat suci termasuklah zikir, selawat, tahlil dan doa-doa yang sememangnya mempunyai keajaiban yang begitu besar sehingga memberi saya peluang kesembuhan sepenuhnya untuk hidup seperti sedia kala pada tahun 2009, setelah mengalami ujian berat yang hampir kepada kematian. Itulah kekuasaan Allah SWT, tiada sesiapa yang dapat menandingi kuasaNya,” ujar beliau lagi dengan penuh keyakinan dengan kekuasaan Allah SWT.

Di sebalik nama Abdus Salam

Pada tahun yang sama, setelah sembuh sepenuhnya, beliau yang pada asalnya bernama Azlee telah memilih untuk mengubah nama beliau kepada Abdus Salam yang membawa erti kesejahteraan dan keamanan.

Adapun tindakan sedemikian adalah berdasarkan nasihat seorang ustaz yang menyarankan beliau agar nama yang dipilih itu akan membawa kesejahteraan dalam diri agar prestasi kesihatan semakin membaik di masa-masa akan datang dengan izin Allah SWT.

Terhasilnya tiga buah album seni dakwah

Dengan keberkatan zikir, selawat dan kalam Allah yang telah menghapuskan segala ujian berat yang melanda diri Ustaz Abdus Salam, maka secara tidak langsung ia telah mendorong beliau untuk mencurahkan ilmu seni zikir ini kepada murid-murid sewaktu bertugas sebagai seorang pendidik sekitar tahun 2013.

“Ilmu keindahan seni Islam ini lebih baik disalurkan kepada kanak-kanak. Dengan peluang kehidupan yang diberikan oleh Allah SWT, inilah masanya saya ingin mengajak semua masyarakat terutamanya generasi muda untuk berjinak-jinak mencintai zikir dan selawat agar sama-sama mendidik rohani dan jasmani,” tegas beliau yang sudah berkhidmat dengan kerajaan selama 24 tahun.

Oleh yang demikian, di atas permintaan orang ramai untuk mendapatkan karya seni beliau sebagai sebuah medium hiburan dakwah tempatan, insan seni dakwah berketurunan Melayu dan Cina ini telah menghasilkan tiga buah album Abdussalam berbentuk cakera padat (CD) antara tahun 2016 hingga 2018 lalu dengan bantuan komposer, ahli muzik dan rakaman tempatan. Antara lagu yang beliau telah rakamkan ialah Doa Taubat dan Zikir, Selawat Thola Al Badru, Solatun Bissalam, Selawat Ibrahim, Selawat Al-Fatih, Selawat Arzaq, Selawat Syifa dan Cahaya Taubat.

Selain menceburi dunia seni hiburan dakwah, Ustaz Abdus Salam juga merupakan seorang insan yang aktif dalam pelbagai aktiviti kerohanian lainnya seperti ceramah motivasi bagi para pelajar sebelum menduduki peperiksaan, menerima undangan persembahan keagamaan bagi majlis-majlis tertentu seperti perkahwinan dan juga selaku pegawai pengiring jemaah umrah dan haji.

Semailah dalam hati

Semasa mengakhiri sesi temu bual, Ustaz Abdus Salam turut menekankan bahawa segala zikir dan selawat serta kalam Allah perlu dijadikan amalan dalam meniti kehidupan yang sementara ini, yang mana ia mestilah sentiasa disemai dalam hati, bukanlah hanya menjadi kata-kata sahaja agar ia dapat menjadi pendinding, bukan sahaja bagi diri kita sendiri bahkan juga insan-insan yang berada di sekeliling kita.

Oleh yang demikian, zikrullah atau mengingati Allah SWT itu ibarat bahtera penyelamat dari tenggelam dalam lautan keraguan, perasaan was-was, keresahan dan juga penawar bagi segala penyakit hati, jiwa dan fizikal. Ini kerana zikir bagi sesebuah kehidupan manusia umpama air bagi ikan. Bagaimana keadaan ikan apabila berpisah dari air? Oleh itu, bersama-samalah kita menyemai nilai-nilai ketakwaan dalam diri kita demi menuju dan mendapatkan keredhaan Allah SWT dalam meniti kehidupan yang penuh pancaroba ini. Ingatlah bahawa jika hati sejernih air, janganlah biarkan ia keruh. Jika hati seputih awan, jangan biarkan ia mendung. Jika hati seindah bulan, hiasilah ia dengan iman.

Hadirnya insan seni hiburan dakwah tanah air ini, ia jelas menunjukkan bahawa keindahan seni juga mampu menjadi medium dakwah yang sememangnya mampu mendidik semua lapisan masyarakat terutamanya generasi muda ke arah pembentukan jati diri yang berakhlak berlandaskan syariat Islam. Dengan kata lain, hiburan juga mampu mendidik jiwa menerusi dakwah kerana melaluinya ia berupaya menyalurkan aspek-aspek positif demi meraih kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat.