Oleh Sim Y. H. & Yusrin Junaidi
Gambar Oleh Muiz Matdani, Sim Y.H & Infofoto
BANGAR, 20 Julai – Setelah Daerah Tutong mempersembahkan persembahan yang membawa tema ‘Raja Bijaksana, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’, kini tiba masanya pula bagi Daerah Temburong mengetengahkan persembahan khas yang membawa tema ‘Raja Berwawasan, Negara Terpimpin’, bersempena dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong yang berlangsung di Kawasan Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Temburong, hari ini.
Tema persembahan menggambarkan wawasan Baginda yang bijaksana, yang mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah dapat membawa negara secara konsisten, bersepadu dan terarah kepada satu tahap kemajuan yang dapat dibanggakan, yang menjadi ristaan bukan saja oleh sekalian rakyat jelata malahan oleh seluruh komuniti serantau dan antarabangsa.
Wawasan Baginda telah dan akan terus memacu negara mencapai kemajuan atau pembangunan prasarana, pendidikan, meningkatkan sosioekonomi dan sebagainya, selaras dengan konsep negara, iaitu Melayu Islam Beraja (MIB) dan Negara Zikir. Dengan rahmat dan inayah daripada Allah S.W.T, Baginda akan terus memimpin negara dan rakyat jelata mencapai kejayaan dan kecemerlangan dunia dan akhirat.


Tema itu juga selaras dan disejajarkan dengan komponen kesepaduan masyarakat di bawah Wawasan Negara 2035 bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri khususnya jabatan-jabatan daerah yang bertindak selaku fasilitator dan koordinator kepada inisiatif-inisiatif dan aktiviti ke arah kesepaduan rakyat, masyarakat di negara ini.
Persembahan selama kira-kira 15 minit itu disertai oleh lebih 300 orang yang terdiri daripada penuntut, murid sekolah, belia-belia dan pasukan beruniform yang sama-sama dalam semangat perpaduan mencurah kasih serta taat setia kepada pemimpin yang dikasihi menerusi persembahan penuh bersemangat.
Persembahan yang dibahagikan kepada tiga segmen itu mengetengahkan para peserta membuat gerak laku dengan diiringi oleh lagu.
Segmen pertama mengetengahkan persembahan kira-kira 5 minit, yang mana gerak laku peserta diiringi dengan lagu bertajuk ‘Laila Diraja’, manakala dalam segmen kedua selama kira-kira 5 minit, gerak laku peserta diiringi oleh lagu bertajuk ‘Laila Bahagia’ dan segmen ketiga selama kira-kira 5 ke 7 minit, gerak laku peserta diiringi dengan lagu irama rakyat bertajuk ‘Sanjungan Kasih’.
