(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Kedatangan bulan Rabi‘ul Awwal mengikut perkiraan taqwim Hijrah merupakan saat yang dinanti-nantikan oleh umat Islam yang beriman.
Dalam bulan inilah lahirnya insan paling mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala, insan paling disayangi oleh umat Islam yang beriman, insan paling dikagumi sebagai syi‘ar Islam kerana diutus untuk menyempurnakan syari‘at Allah Subhanahu wa Ta‘ala di muka bumi sebagai nabi terakhir, penyudah para nabi iaitu Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Bersempena bulan bersejarah ini, banyak negara-negara Islam mengadakan perayaan memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan mengadakan aktiviti-aktiviti keagamaan tidak terkecuali negara kita, Negara Brunei Darussalam. Aktiviti-aktiviti yang diadakan semuanya menjurus kepada mengingati Baginda yang kita cintai.
Mengadakan perayaan maulid Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pada setiap tahun itu hukumnya adalah sunat. Aktiviti merayakan itu termasuk dalam ibadat memuliakan Nabi dan mengasihi Nabi. Ini kerana memuliakan dan mengasihi Nabi itu sangat dianjurkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Walau bagaimanapun hukum sunat ini hanyalah berlaku apabila perayaan tersebut tidak bercampur dengan perkara-perkara yang dilarang.
Berbagai bentuk acara sambutan Maulid Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam diadakan, antaranya dengan berzikir dan mendengar syarahan di masjid-masjid; membaca kisah Nabi seperti berzanji yang disudahi dengan bacaan doa serta ceramah agama; atau dengan memperbanyakkan sedekah, sama ada dalam bentuk makanan, wang, pakaian dan sebagainya. Semua ini bagi menzahirkan rasa kecintaan kita terhadap Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Anjuran memperbanyakkan shalawat ke atas Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pada musim Maulid
Bershalawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam juga merupakan satu pernyataan rasa cinta kita kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam yang boleh dilafazkan sebanyak-banyaknya pada bulan kelahiran Baginda. Bukan pada waktu itu sahaja, bahkan dianjurkan untuk dilafazkan pada setiap hari. Shalawat ke atas Baginda ini bukan hanya sebagai pujian umat Islam serta rasa pengagungan untuk Baginda kerana kedudukan Baginda yang tinggi di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala, bahkan suatu tuntutan yang merupakan rangkaian iman.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:
“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya bershalawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Bershalawatlah kepadanya serta ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan.” (Surah al-Ahdzab: 56)
Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala memuliakan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sama ada ketika hayat mahupun sesudah Baginda wafat. Begitu juga Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan orang-orang yang beriman untuk turut sama memuliakan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Maksud Allah Subhanahu wa Ta‘ala “bershalawat ke atas Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam” ialah Allah Subhanahu wa Ta‘ala melimpahkan dan mengurniakan rahmat dan keredhaanNya kepada Baginda. Shalawat para malaikat ke atas Baginda pula bermaksud permohonan doa dan keampunan. Manakala shalawat daripada umat Islam ke atas Baginda pula bermaksud permohonan doa dan mengagungkan kedudukan Baginda.
Kelebihan bershalawat ke atas Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam
Banyak disebutkan di dalam hadis-hadis mengenai kelebihan-kelebihan yang dikurniakan kepada orang-orang yang bershalawat ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya:
1. Mendapat kedudukan yang utama di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada hari kiamat kelak termasuklah mendapat syafa‘at Baginda.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud r.a., Rasulullah bersabda yang maksudnya:
“Seutama-utama manusia di sisiku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak bershalawat ke atasku.” (Hadis riwayat ath-Tirmidzi)
Apa yang dimaksudkan dengan “seutama-utama manusia di sisiku” di dalam hadis di atas ialah manusia yang paling dekat dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ia juga bermaksud manusia yang berhak mendapat syafa‘at daripada Rasulullah ialah orang yang membanyakkan shalawat ke atas Baginda.
2.Digandakan pahala bershalawat
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Barangsiapa yang bershalawat ke atasku sekali, Allah akan bershalawat ke atasnya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis di atas bermaksud bahawa sesiapa yang bershalawat ke atas Rasulullah sebanyak satu kali, maka Allah mengurniakan kepadanya (orang yang bershalawat) rahmat dan melipatgandakan pahalanya.
Cara bershalawat ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada mengajarkan umat Islam beberapa cara bershalawat ke atas Baginda sebagaimana yang disebut dalam hadits-hadits yang diriwayatkan daripada para sahabat Radhiallahu ‘anhum,
1. Sekurang-kurang lafaz shalawat yang bermaksud:
Ertinya: “Ya Allah, kurniakanlah shalawat kepada Muhammad.”
2. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id Al-Khudri r.a., dia bertanyakan Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam: “Ya Rasulullah, ini adalah lafaz salam untuk Tuan, maka bagaimana pula lafaz shalawat untuk Tuan?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Ya Allah, kurniakanlah shalawat kepada Muhammad, hambaMu dan rasulMu, sebagaimana Engkau telah mengurniakan shalawat kepada Ibrahim. Dan kurniakanlah barakah kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan barakah kepada Ibrahim dan kepada keluarga Ibrahim.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
3. Lafaz yang sempurna ialah shalawat ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian kepada ahli keluarga Baginda, kepada Nabi Ibrahim ‘alaihissalam serta keluarga Baginda. Lafaz tersebut sebagaimana yang disebut di dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Mas‘ud al-Anshari’ Radhiallahu ‘anhu, dia berkata:
“Kami telah menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan pada ketika itu kami dalam majlis Sa‘ad bin Ubadah. Lantas Basyir bin Sa‘ad berkata kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Allah telah memerintahkan kami untuk bershalawat kepadamu, ya Rasululllah! Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Katakanlah:
Maksudnya: “Ya Allah, kurniakanlah shalawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan shalawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan kurniakanlah barakah kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan barakah kepada keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau adalah zat yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia pada sekalian alam.” (Hadis riwayat Muslim)
Shalawat ini dipanggil shalawat Ibrahimiyyah. Ia merupakan shalawat yang terlengkap yang pernah diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana di dalamnya terkumpul shalawat kepada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga Baginda, kepada Nabi Ibrahim ‘alaihissalam dan keluarganya.
Ia adalah shalawat yang ma’tsur iaitu yang warid atau datang daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam sama ada yang diajar, disuruh atau dibaca oleh Baginda pada sempena khusus atau tiada bersempena.
Bershalawat ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga merupakan salah satu rukun dalam sembahyang. Ia dilafazkan sesudah membaca tasyahhud pada raka‘at akhir di dalam sembahyang dan sebelum salam.
Lafaznya yang bermaksud:
Ertinya: “Ya Allah, kurniakanlah shalawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan shalawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan kurniakanlah barakah kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan barakah kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau adalah zat yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”
Bagi shalawat yang bukan ma’tsur pula adalah harus untuk diamalkan seperti shalawat yang dikarang oleh para ulama. Sebagai contoh shalawat yang dikarang oleh Imam asy-Syafi‘i Rahimahullah di dalam kitabnya ar-Risalah iaitu yang bermaksud:
Ertinya: “Semoga Allah mengurniakan shalawat kepada Nabi kami sebanyak mana orang-orang yang berzikir ingat kepadaNya dan orang-orang yang lalai lupa daripada mengingatiNya.”
Malah terdapat beberapa riwayat menyatakan tentang fadhilat shalawat tersebut berdasarkan pengalaman para ulama mengamalkan sebahagian shalawat yang bukan ma’tsur itu. Namun yang lebih afdhal adalah amalan bershalawat dengan shalawat yang ma’tsur.
Bila kita digalakkan bershalawat?
Shalawat digalakkan pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira waktu. Walau bagaimanapun terdapat beberapa waktu dan tempat yang utama bershalawat. Antaranya:
Ketika seseorang menyebut nama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
a) Pada hari Jumaat dan pada malamnya
b) Pada waktu Subuh
c) Pada waktu petang
d) Ketika hendak memasuki masjid
e) Ketika hendak keluar dari masjid
f) Ketika berada di makam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
g) Ketika hendak berdoa
h) Ketika selesai berdoa
i) Di akhir khatam al-Qur’an
j) Ketika dalam kesedihan dan kesusahan
k) Ketika memohon keampunan
l) Ketika menyampaikan ilmu kepada orang ramai
m) Ketika memberi nasihat atau tunjuk ajar
n) Ketika menyampaikan pelajaran
o) Dalam perkumpulan orang ramai
p)Ketika bersurai daripada perkumpulan
Pada setiap tempat dan waktu di mana orang ramai berkumpul untuk mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala seperti majlis-majlis keagamaan dan yang seumpamanya. Ini termasuklah dalam majlis sempena maulid Rasul Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Oleh yang demikian perbanyakkanlah shalawat, lebih-lebih lagi sepanjang bulan Rabi‘ul Awwal ini. Bagi yang mengikuti perarakan sempena Maulid Nabi, hiasilah lidah dengan bershalawat agar perarakan yang dilakukan tidaklah semata-mata berjalan sahaja, bahkan perarakan yang dilakukan adalah sebagai ingatan dan kasih sayang terhadap Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam.