Bersih pantai sambut Hari Wanita Antarabangsa

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Ahli-ahli Kelab Wanita Antarabangsa (IWC) Brunei Darussalam sama-sama meraikan Hari Wanita Antarabangsa, diraikan setiap 8 Mac, dengan kempen kebersihan di Pantai Muara, hari ini.

Sambutan dihadiri oleh ahli-ahli kehormat kelab dari pelbagai kedutaan dan suruhanjaya tinggi di Brunei Darussalam, ahli-ahli kelab serta keluarga dan rakan-rakan mereka.

Perasmian acara telah disempurnakan oleh Presiden IWC Brunei Darussalam, Ungku Datin Hajah Fanzah Haji Osman bersama Duta Besar China ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong, isteri Pesuruhjaya Tinggi British ke Brunei Darussalam, Xanthe Lindsay yang juga merupakan naib presiden kehormat IWC Brunei Darussalam dan isteri Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Vietnam ke Brunei Darussalam, Pham Thi Minh Diep.

Acara diakhiri dengan menikmati sarapan pagi yang disediakan oleh Seri Maharaja Restaurant dan setiap hadirin diberikan beg kitar semula Hari Wanita Antarabangsa IWC. Acara juga disokong oleh BIG BWN Project dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe).

Menurut kenyataan yang diberikan, IWC Brunei Darussalam meraikan Hari Wanita Antarabangsa setiap tahun untuk mempromosikan dan mewujudkan kesedaran mengenai isu-isu wanita dan mengikat pertalian persahabatan antara ahli-ahlinya daripada komuniti tempatan dan ekspatriat.

Antara yang menyertai kempen kebersihan sempena Hari Wanita Antarabangsa di Pantai Muara, kelmarin. – Gambar serahan IWC Brunei Darussalam