Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Bulan Syawal yang memasuki hari kelima terus hangat diraikan lebih-lebih lagi kakitangan awam masih lagi bercuti, memberi peluang untuk mereka mengunjungi keluarga dan saudara-mara di daerah-daerah lain.
Bagi Hajah Salbiah binti Haji Mahmud yang berpindah ke Daerah Brunei dan Muara bersama suami dan keluarganya sejak 15 tahun lalu, musim Hari Raya Aidilfitri inilah beliau meluangkan masa lebih panjang untuk berkunjung balik ke Kampung Sengkarai, Tutong.
Jelasnya, pada kebiasaannya pada hari pertama, beliau dan keluarganya akan berkunjung ke rumah ibu dan adik-beradik yang masih berada di Daerah Tutong dan kemudian ahli keluarga lainnya akan berkunjung balas ke rumahnya di Daerah Brunei dan Muara.
Hajah Salbiah sering kali melahirkan perasaan gembira dan bersyukur apabila ahli keluarga yang jauh bertandang kediamannya dan ia juga membantu mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan keluarganya lebih-lebih lagi apabila tidak kerap bersua muka.