Bersuara jika alami gangguan seksual – Julia Farhana

Gangguan seksual bukan isu remeh, sebaliknya menyebabkan trauma dari segi emosi dan psikologi.

Itulah yang dialami pelakon, Julia Farhana Marin, 27, ketika masih muda dan naif.

Mendedahkannya, dia sering menerima gangguan seksual secara lisan setiap kali menghadiri uji bakat, terutama dalam bilik yang penuh dengan lelaki pada awal pembabitannya dalam dunia lakonan.

“Saya tidak pernah disentuh, tetapi gangguan seksual secara lisan juga teruk akibatnya. Ia membuatkan saya rasa seperti tiada harga diri, kerdil dan murahan.

“Apabila mengalami gangguan seksual di lokasi penggambaran atau majlis, saya hanya tersenyum, namun, perlahan-lahan saya belajar mempertahankan diri untuk dihormati.

“Saya pernah cuba membalas dan mempertahankan diri, namun, tindakan saya memberikan kesan negatif. Saya jadi seorang yang beremosi bagi melindungi diri,” katanya kepada media.

Julia mendedahkan dia sering menerima gangguan seksual secara lisan setiap kali menghadiri uji bakat, terutama dalam bilik yang penuh dengan lelaki pada awal pembabitannya dalam dunia lakonan. – Agensi

Pelakon drama Syurga Untukmu dan Puteri Yang Ditukar itu berkata, lelaki yang suka mengganggu menggunakan alasan sekadar bergurau, tetapi dia katakan, bagaimana jika ibu, adik atau ahli keluarga berdepan dengan gurauan melampau ini?

“Memang gangguan terhenti, namun, tindakan saya memberi kesan lain apabila babak saya dilambatkan dan kena buli.

“Saya juga digelar gila, bipolar atau sombong sebab menjaga batas antara saya dan lelaki di lokasi penggambaran.

“Saya terpaksa elak melakukan ‘eye contact’ untuk interaksi. Namun, saya pula dituduh sombong, tiada adab dan kurang ajar sebab tidak bertegur sapa,” katanya.

Gadis berdarah kacukan Melayu dan Itali itu berkata, dia mengalami trauma ketika masih remaja, namun tiada siapa yang tahu dan percaya.

“Lama kelamaan, saya belajar mengamalkan penjara fizikal dan bersosial secara sihat.

“Saya belajar menangani gangguan seksual dengan baik. Cuma, apa yang menyedihkan, kebanyakan lelaki berkahwin dan matang yang sepatutnya melindungi wanita suka buat lawak lucah.

“Namun, saya tidak menuding jari pada semua lelaki. Saya pernah terkena beberapa kali, jadi ia memberikan impak besar hinggakan saya rasa menyesal memilih kerjaya sebagai pelakon.

“Saya merasakan orang tidak respek kepada pelakon. Tetapi, apabila difikir semula, gangguan seksual boleh berlaku di mana-mana sahaja,” katanya.

Namun, katanya, jangan salah faham kerana ramai pelakon lelaki profesional, respek dan sangat peramah membuatkannya tidak takut dan selesa.

“Gangguan seksual tidak boleh dibiasakan kerana ia bukan gurauan melucukan.” – Agensi