Bersyukur anak selamat

Pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof, bersyukur anaknya, Zareef Yusof, 9, terselamat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke lokasi penggambaran di Sekinchan, Kuala Selangor, pagi tadi.

Ketika kejadian, Zareef ditemani ibu saudaranya untuk ke lokasi penggambaran drama Mak Cun musim kelima arahan Erma Fatima.

Eizlan berkata, walaupun diberitahu Zarif tidak mengalami sebarang kecederaan, dia tetap tidak senang hati dan terus menuju ke lokasi bagi melihat sendiri keadaan anaknya.

“Apabila mendapat tahu Zareef kemalangan dan kereta yang dinaiki rosak teruk, saya terkejut serta risau. Tambahan pula, selepas mendapat tahu kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan. Saya tak boleh bayangkan apa yang mereka lalui. Luruh jantung dibuatnya. Alhamdulillah, Zareef dan ibu saudaranya selamat serta tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Eizlan berkata, walaupun tiada sebarang kecederaan, mereka tetap dibawa ke hospital berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

Malah, katanya, Zareef sudah meneruskan kerja penggambaran mengikut jadual kerja produksi.

“Dia sudah menjalani semula penggambaran selepas pemeriksaan doktor. Memandangkan ia hari terakhir penggambaran, mereka selesaikan juga baki babak yang ada,” katanya. – Agensi

Datuk Seri Eizlan Yusof bersyukur Zareef dan ibu saudaranya selamat dan tidak mengalami kecederaan. – Agensi