Bersyukur dengan kelonggaran fasa kedua

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Ketika negara memasuki fasa kedua de-escalation yang telah diumumkan pada 13 Jun lalu, lebih banyak sekatan telah dilonggarkan dan ramai yang melahirkan rasa syukur dengan perlaksanaannya.

Fasa kedua berkenaan termasuk menambah kapasiti pengunjung bagi restoran dan kafe, pusat kecergasan dan sekolah memandu daripada 30 peratus kepada 60 peratus di setiap premis.

Pembukaan semula masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara dengan membenarkan para jemaah untuk menunaikan solat fardu lima waktu turut di ambil baik yang mana sebelum ini hanya dibenarkan untuk menunaikan solat Fardu Jumaat sahaja dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Kapasiti 30 peratus juga diberikan dengan pembukaan semula pusat warga emas, muzium, perpustakaan, kafe Internet dan galeri pameran.

Salah seorang pelajar di institut pengajian swasta yang sempat ditemu bual, Awang Hazirul Hazim bin Haji Dahlan, 25, melahirkan rasa syukur dengan pembukaan semula masjid-masjid, surau dan balai ibadat untuk menunaikan solat Fardu Jumaat pada fasa pertama dan dibenarkan untuk menunaikan sembahyang fardu lima waktu di masjid bagi fasa kedua.

“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kita hanya dibenarkan menunaikan solat Fardu Jumaat tapi sekarang, Alhamdulillah lebih menyenangkan, terutama ketika kita keluar rumah kita dapat menunaikan solat di masjid, surau atau balai ibadat,” katanya.

Sementara itu, Hajah Siti Nur Bazilah binti Haji Morni pula berkata, “Dengan pembukaan semula muzium dan perpustakaan, walaupun dengan kapasiti yang ditetapkan tapi ia sedikit sebanyak dapat mengisi masa lapang kanak-kanak dengan mengunjungi muzium dan perpustakaan yang sebelum ini mereka lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah.”

Dalam fasa kedua ini, katanya, “Ramai daripada kita kini secara perlahan-perlahan kembali semula seperti sedia kala.Kami juga berpeluang berkunjung ke Bandarku Ceria untuk membawa anak-anak keluar membuat aktiviti riadah.

“Walaupun beberapa sekatan telah dilonggarkan tapi janganlah kita leka, kita perlu sentiasa mengekalkan penjarakan sosial selain menekankan kebersihan diri dalam setiap masa,” tegas beliau.