Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Bagi menyemarakkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Bertadarus Al-Quran serta Majlis Kasih Ramadan Pusat Pembangunan Belia (PBB) di Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong, Daerah Brunei dan Muara.
Program ini diselenggarakan oleh KKBS dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong, Daerah Brunei dan Muara.
Rombongan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya diketuai oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai dan seterusnya bacaan ayat-ayat suci Al-Quran Juzuk 12 secara bergilir-gilir dan disusuli dengan bacaan Doa Menghindari Wabak COVID-19 dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta Selawat Tafrijiyyah dan Sayyidul Istighfar.
Majlis diteruskan dengan penyerahan sumbangan wakaf dan derma anak-anak yatim.
Majlis diakhiri dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah serta Majlis Kasih Ramadan PBB iaitu penyampaian derma kepada anak-anak yatim secara pandu lalu.
Hadir sama ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, pengarah-pengarah bahagian dan jabatan, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya dan jemaah Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong.