Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Bertahan pulihara tradisi pembuatan bot Syria

    PULAU ARWAD, SYRIA – Khaled Bahlawan menukul paku dalam perahu kayu tradisional yang dibinanya dengan tangan, bekerja keras di bawah sinaran matahari yang terik di pantai Mediterranean di Syria untuk memulihara kemahiran berusia berabad-abad lamanya.

    “Kami merupakan keluarga terakhir yang membuat kapal dan bot kayu di Syria,” kata lelaki berusia 39 tahun itu di pesisir pulau Arwad, berhampiran bandar Tartus.

    “Ia adalah peninggalan nenek moyang kami…Kami sedang berjuang untuk memuliharanya setiap hari.”

    Terletak kira-kira tiga kilometer di luar pantai, Arwad adalah satu-satunya pulau berhuni di Syria dan tempat aman di sebuah negara yang dibelenggu peperangan selama 11 tahun.

    Beratus-ratus pekerja, penduduk dan pelawat berulang-alik dari sana setiap hari dalam bot kayu, kebanyakannya dibina oleh keluarga Bahlawan.

    Khaled Bahlawan menukul paku dalam bot kayu di limbungan bot di pulau Arwad. – AFP
    Khaled Bahlawan membina sebuah bot kayu di limbungan botnya di pulau Arwad di Syria. – AFP
    Seorang ahli keluarga Bahlawan mengecat sebuah bot di limbungan bot mereka. – AFP

    Khaled Bahlawan menguji botnya di pulau Arwad. – AFP

    Namun permintaan untuk seni pertukangan yang wujud sejak era Phoenician purbakala itu telah pun menyusut mendadak.

    Lapan anggota keluarga Bahlawan kini berkongsi pekerjaan tersebut, membuat bot untuk nelayan, tempat peranginan dan pengangkutan penumpang.

    Tradisi membina dan membaiki bot kayu telah diwarisi oleh keluarga mereka sejak beratus-ratus tahun lamanya.

    Bekalan elektrik terputus berlarutan berpunca daripada konflik bertahun-tahun bermakna Bahlawan tidak dapat menggunakan peralatan elektriknya.

    Sebaliknya, dia bekerja menggunakan alat manual milik datuknya, melicinkan kayu secara manual dan bukannya dengan ketam elektrik.

    “Ia adalah kerja yang sukar,” jelasnya, sambil berdiri dalam badan sebuah bot dan mengetuk-ngetuk setiap paku dengan teliti.

    Dia berjalan menuju ke bengkel kecil dan terbuka berdekatan pantai setiap hari, meskipun permintaan yang kurang dan kaedah yang serba sederhana itu.

    “Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk mengatasi kesukaran yang dihadapi,” kata Bahlawan, wajahnya dibasahi keringat dan tatal kayu.

    Pembinaan bot telah menjadi tradisi kampung sejak era Phoenician, menurut Noureddine Suleiman, yang mengetuai bandar Arwad.

    Sebelum ini, majoriti penduduk Arwad bekerja sebagai pembina bot, ujarnya.

    “Hari ini, hanya keluarga Bahlawan yang tinggal.”

    Sejak beribu-ribu tahun lalu, kaum Phoenician, terkenal dengan pembuatan kapal dan bot, menetapkan asas untuk pelayaran laut.

    Kelasi mahir dan pedagang merantau lautan, membawa ilmu pengetahuan, kemahiran pertukangan dan perniagaan mereka ke kawasan lain di Mediterranean.

    Namun Suleiman memberi amaran pembuatan bot tradisional kini berdepan risiko lenyap, apabila penduduk muda berhijrah atau mencari kerja yang lebih senang dan lebih menguntungkan.

    Farouk Bahlawan, bapa saudara Khaled, berkata keluarganya telah memelihara bentuk dan struktur asal bot lama Phoenician, dengan beberapa pengubahsuaian.

    “Kami membuat bot terutamanya daripada pokok kayu putih dan pokok kertau dari hutan Tartus,” kata tukang kayu mahir berusia 64 tahun itu.

    Kanak-kanak pula bermain sorok-sorok dalam badan bot di bengkel, sementara warga emas merokok di tempat redup sebuah kapal besar.

    Tidak jauh, lebih daripada 40 bot kayu bertambat di pelabuhan Arwad.

    “Kami biasa menghasilkan empat kapal besar dan beberapa bot setiap tahun yang akan kami eksport ke Cyprus, Turkiye dan Lubnan,” kata Farouk Bahlawan.

    “Tahun ini, kami hanya menghasilkan sebuah kapal, dan ia masih memerlukan banyak kerja sebelum ia dapat disiapkan.”

    Dia merenung pantai, di mana anak-anaknya berlari-lari di pasir.

    “Kami mesti meneruskan perjalanan ini. Kami memikul tanggungjawab sejarah di atas bahu kami,” ujarnya dengan penuh perasaan.– AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...