Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Rombongan belia dan beliawanis Masjid Kampung Sungai Besar, hari ini, berkunjung ke rumah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman bagi mengadakan Majlis Bertakbir Hari Raya Aidiladha.
Seramai 25 orang belia dan 25 beliawanis menyertai rombongan sebagai salah satu program yang dihasratkan bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Pada majlis itu, Takbir Hari Raya telah dipimpin oleh Awang Firdaus bin Abdullah Helmey dan Awang Abdul Aziz bin Azmi.
Majlis diserikan dengan Selawat Tafrijiyah, Selawat Ibrahimiyah dan Nasyid Astaghfirullah Rab Al-Baraya oleh belia dan beliawanis secara beramai-ramai.
Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara telah dibacakan oleh Awang Muhammad Hazman bin Haji Mohd Hairol Azme.
Pada majlis berkenaan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama yang juga selaku penaung ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, dan isteri, Datin Hajah Nahriah binti Haji Asbi juga beramah mesra bersama belia dan beliawanis yang hadir.
Turut hadir ialah Penasihat AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Mohiddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Setiausaha Takmir Masjid, Haji Zaini bin Haji Damit.