Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Bertanjak sambil jual roti benggali

    KANGAR – Berniaga sambil mencari kelainan dengan kreativiti tersendiri dapat memberi nilai tambah kepada sesuatu produk yang dijual sekali gus dapat menarik lebih ramai pelanggan.

    Itu yang dilakukan oleh Shaharizal Mukhtar, 40, yang segak bertanjak ketika menjual roti benggali pelbagai perisa menggunakan motosikal di sekitar Kangar dan Kuala Perlis bagi menyara keluarganya.

    Anak jati Teluk Jambu, Bintong itu berkata beliau mendapat ilham berniaga roti dengan memakai tanjak pada April 2021 bagi menarik minat orang ramai khususnya generasi muda untuk terus mewarisi dan memelihara warisan busana Melayu itu.

    “Niat saya ialah ingin kembangkan warisan ini kepada semua, kerana tidak ramai lagi yang sanggup memakai tanjak pada hari biasa kecuali pasa majlis tertentu sahaja,” kata pemilik Tanjak Roti Benggali itu kepada Bernama di sini.

    Beliau berkata perniagaannya itu mendapat sambutan menggalakkan, malah ada pelanggan yang sudah menjadi sahabatnya.

    “Dahulu, saya pernah berniaga roti dengan seorang kawan menggunakan van namun sukar mendapat pelanggan kerana pergerakan terbatas, tidak boleh masuk ke kawasan pedalaman dan lorong perumahan.

    “Sejak beralih menggunakan motosikal alhamdulillah sambutan diterima sangat baik kerana lebih mudah masuk ke kawasan kampung dan dekat dengan pelanggan,” katanya.

    Shaharizal menjual tiga jenis roti iaitu roti benggali biasa, roti benggali gandum dan roti ban lembut yang diperoleh daripada pembekal di Pulau Pinang. “Bagi memastikan roti yang dijual memenuhi selera penduduk setempat, saya mengolah kembali perisa kepada lebih 10 jenis termasuk kaya, marjerin, strawberi, nanas, coklat dan vanila,” katanya yang menjual lebih kurang 240 bungkus roti sehari.

    Shaharizal yang berniaga bermula 8 pagi hingga 8 malam berhasrat untuk mengembangkan perniagaannya dalam bentuk francais kepada anak muda yang berminat serta bersedia berkongsi pengalaman dan rezeki kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan. – Bernama

    Shaharizal Mukhtar yang segak bertanjak ketika menjual roti benggali pelbagai perisa menggunakan motosikal di sekitar Kangar dan Kuala Perlis bagi menyara keluarganya. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...