Bertindak kolektif, konstruktif

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah wabak COVID-19 telah mengubah kaedah kerajaan dan parlimen nasional dalam menangani normal baharu dan cabaran yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Hasil daripada sifat wabak yang tidak menentu itu, ia sudah setentunya memerlukan tindakan segera dalam usaha untuk melindungi kepentingan rakyat sambil menekankan akan kepentingan kesatupaduan dalam komuniti ASEAN.

Oleh itu, AIPA bersama rakan kongsi strategik pada masa ini, juga berperanan penting dalam merangka dan melaksanakan strategi yang berkesan untuk memupuk Komuniti ASEAN yang berpandangan jauh yang mampu bertindak balas secara kolektif dan konstruktif terhadap masalah yang menjadi perhatian ramai, titah Baginda dalam perutusan sempena Perhimpunan Agung AIPA ke-41.

Baginda menekankan, dengan bekerjasama, akan mampu mewujudkan ASEAN yang lebih mapan dan berdaya tahan dengan keupayaan tinggi dalam menerima sebarang perubahan positif. Negara Brunei Darussalam akan terus menyokong usaha AIPA ke arah pencapaian yang dihasratkan.

Baginda seterusnya menyatakan tema bagi Perhimpunan Agung AIPA ke-41 tahun ini adalah seiring dengan visi ASEAN yang menjurus ke arah ASEAN yang kohesif dan responsif.

Perkara itu telah memberi perhatian terhadap keperluan dalam pengukuhan solidariti di peringkat serantau bagi menangani cabaran dengan lebih berkesan seperti yang telah ditetapkan di dalam Piagam ASEAN dan juga Wawasan Komuniti ASEAN 2025. Di samping itu, Baginda menekankan, diplomasi parlimen akan mampu meningkatkan peranan AIPA dalam menyokong ASEAN melalui peningkatan persefahaman di antara negara dan melalui perwakilan rakyat yang lebih baik.

Baginda juga mengambil maklum bahawa agenda bagi Perhimpunan Agung AIPA kali ke-41 tahun ini mengetengahkan usaha-usaha pemulihan akibat wabak COVID-19 yang berkaitan dengan ekonomi, keselamatan sosial serta keamanan dan kestabilan di rantau ini.

Dalam mengakhiri perutusan, Baginda yakin bahawa AIPA akan dapat membantu ASEAN bagi sama-sama mengharungi tempoh yang mencabar ini dan muncul sebagai komuniti yang lebih berdaya tahan.