Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Bertuah bertemu raja dikasihi rakyat

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Daniel Lim

    Sudah menjadi budaya dan tradisi di Brunei Darussalam untuk mengadakan Majlis Ramah Mesra bersama Rakyat dan Penduduk yang sangat unik dan indah dalam memupuk taat setia dan mendaulatkan raja.

    “Syukur Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) Sdn Bhd bersama-sama penduduk-penduduk Daerah Belait turut serta dalam Majlis Ramah Mesra bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Belait sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 bagi tahun ini.”

    Demikian telah diungkapkan oleh Pengurus Korporat Syarikat BSP, Haji Jaafar bin Haji Bakar semasa ditemu bual Media Permata pada Majlis Ramah Mesra bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Belait, pada hari ini, di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait.

    Menurut beliau, majlis tersebut mengeratkan jalinan silaturahim dalam kalangan penduduk di daerah itu dalam sama-sama menjayakan majlis tersebut dan juga acara-acara yang berkaitan dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-76 tahun.

    Di hujung temu bual, Haji Jaafar berkesempatan untuk menyembahkan ucapan tahniah kehadapan majlis Baginda Sultan.

    Awang Muhammad Iqmal, peserta persembahan pentas dari Pertubuhan Seni Warisan Pelangi Negara Brunei Darussalam ketika ditemu bual.
    Haji David berkata tahun ini merupakan kali kelima beliau melibatkan diri mengikuti Majlis Ramah Mesra bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Belait.
    Meryl Plevey, mengongsikan bahawa ini merupakan kali pertama beliau menghadiri majlis sedemikian yang sangat mengujakan.
    Catherine Wright mengongsikan ia merupakan sebuah pengalaman yang sangat indah tidak dapat dilupakan ketika berpeluang berhadapan dan menjunjung ziarah dengan raja dikasihi rakyat.
    Antara persembahan pada majlis ramah mesra di Daerah Belait. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Media seterusnya menemu bual salah seorang peserta persembahan pentas, Awang Muhammad Iqmal bin Ahmad dari Pertubuhan Seni Warisan Pelangi Negara Brunei Darussalam. Dalam temu bual tersebut, beliau telah mengongsikan mereka telah mengikuti persembahan tersebut di Daerah Belait setiap tahun.

    “Sebelum berlakunya pandemik COVID, saya telah melibatkan diri untuk tiga kali di bahagian pentas utama, manakala selepas penularan, ini merupakan kali kedua saya mengikuti persembahan.

    “Sejujurnya bersemuka bersama Baginda memang ada rasa berdebar tetapi kami tetap melakukan persembahan dengan penuh yakin seperti latihan yang kami jalani selama ni,” katanya ketika mengongsikan perasaan beliau semasa membuat persembahan.

    Di hujung temu bual, Awang Muhammad Iqmal berkata, “Insya-Allah jika diberikan peluang, kami tetap akan katakan ya kepada acara seumpama ini.”

    Wartawan turut berkesempatan menemu bual dua orang warganegara asing yang turut menghadirkan diri semasa acara tersebut. Catherine Wright dari Aberdeen, Scotland, mengongsikan pengalaman beliau bahawa ia merupakan kali pertama beliau menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Belait itu.

    “Ia merupakan pengalaman sangat indah setakat ini di mana terdapatnya banyak persembahan berwarna-warni dan juga begitu indah melihat semua orang bergembira terutama setelah penularan COVID ini,” kata Catherine Wright.

    Ketika ditanya mengenai perasaannya semasa berhadapan dan menjunjung ziarah dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Catherine Wright mengongsikan ia merupakan satu pengalaman sangat indah yang tidak dapat dilupakan.

    “Saya telah belajar banyak tentang Baginda semasa berada di sini dan betapa hormatnya sekalian rakyat terhadap Baginda Sultan kerana Baginda adalah seorang pemimpin yang hebat,” kongsinya.

    Seorang lagi warga asing, Meryl Plevey, juga berasal dari Aberdeen, Scotland, turut mengongsikan perasaan yang serupa.

    “Ini merupakan kali pertama saya menghadiri majlis sedemikian dan sangat mengujakan, penuh warna-warni dan semua orang begitu mesra.

    “Sungguh menggembirakan melihat begitu ramai orang di sini meraikan Hari Keputeraan Baginda dan kami berada di Bandar Seri Begawan pada 15 Julai lalu dan sangat menyenangkan untuk bercakap dengan rakyat Brunei dan betapa cintanya mereka kepada Baginda Sultan,” jelas Meryl Plevey yang turut mengongsikan ingin kembali ke Brunei untuk menghadirkan diri lagi ke acara-acara perayaan Hari Keputeraan Baginda Sultan.

    Ketika berkesempatan menemu bual Presiden Persatuan Sutera, Haji David bin Haji Kassim, beliau berkata tahun ini merupakan kali kelima beliau melibatkan diri mengikuti Majlis Ramah Mesra bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Belait.

    Menurutnya, dari tahun ke tahun, beliau menyaksikan terdapatnya peningkatan dari segi cara aturan padang pada majlis tersebut.

    “Alhamdulillah, saya merasa sangat gembira. Salah satu daripadanya ialah kerana masih berkesempatan untuk mengikuti acara seumpama ini yang dapat diraikan terutama sekali melalui Persatuan Sutera ini,” kata Haji David.

    Di hujung temu bual, presiden persatuan tersebut berkata, “Insya-Allah jika dipanjangkan umur, saya akan hadir dan ikut serta dalam sama-sama menjayakan majlis ramah mesra seperti pada hari ini.”

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...