Friday, October 11, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bertuah di bawah payung raja bijaksana

    Oleh Yusrin Junaidi & Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Negara Brunei Darussalam menyaksikan satu lagi peristiwa penuh adat istiadat dan gilang-gemilang, di mana Bandar Seri Begawan sejak dari pukul 3 pagi sudah mula dikunjungi oleh rakyat jelata bagi menyaksikan raja yang dicintai pada Istiadat Perarakan Mengelilingi Bandar Seri Begawan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

    Media Permata hari ini, membuat liputan bagi majlis berkenaan yang juga merupakan warisan sejarah turun-temurun serta menjadi kebanggaan negara.

    Di samping itu, sejak awal pagi lagi, ribuan orang ramai bersama keluarga masing-masing dari pelbagai peringkat umur juga sama berhimpun di sepanjang jalan khususnya di kawasan pusat bandar dan kawasan pusat membeli-belah.

    Himpunan rakyat dan penduduk yang begitu ramai dengan pakaian yang berwarna-warni menambahkan semaraknya suasana sambutan yang begitu bersejarah.

    Awang Mohd Naqib Al-Faiz bin Haji Matnor ketika ditemu berkata, “Saya bersyukur kerana dapat merayakan Jubli Emas bersama anak saya yang kurang upaya dalam sama-sama memeriahkan Istiadat Perarakan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta bersama keluarga tersayang. Mudah-mudahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dipanjangkan umur, sihat walafiat dan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan adil.”

    Hajah Dayang bersama keluarga merasa teruja menyaksikan istiadat perarakan berkenaan.
    Dayangku Tuna Fatimah bersama rakannya.

    Sementara itu, Haji Bungso bin Haji Randah, 82 dari Kampung Lambak Kanan ketika ditemui berkata, “Hari ini merupakan hari yang bersejarah bagi saya, perayaan Sambutan Jubli Emas ini bersifat untuk menjadi ristaan sejarah sama ada dalam bentuk peringatan yang berupaya memberi perangsang kepada generasi akan datang ke arah keunggulan bangsa.”

    Beliau yang juga merupakan bekas kakitangan Radio Televisyen Brunei tidak pernah ketinggalan hadir dan mengikuti acara-acara kebesaran Istiadat Diraja seperti Majlis Istiadat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta dan Istiadat Jubli Perak.

    Hajah Aisah binti Hasan dari Kampung Lambak, 72 tahun berkata, beliau sangat gembira kerana berkesempatan menyaksikan perayaan Sambutan Jubli Emas Baginda Sultan Menaiki Takhta.

    “Perayaan ini bersifat kesyukuran. Kami sekeluarga merasa amat bersyukur ke hadrat Allah S.W.T di atas limpah kurnia-Nya kerana diberikan pemimpin yang sangat adil sehingga kami dapat menikmati keamanan dan kemakmuran sepanjang 50 tahun di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.”

    Pengetua Sekolah Menengah Awang Semaun, Dayang Siti Mariena binti Haji Umar pula menjelaskan bahawa sambutan hari ini adalah sesuatu yang amat bersejarah bagi negara, di mana menurut beliau sejak 50 tahun pemerintahan Baginda Sultan, perkembangan telah banyak diberikan dari segi taraf hidup, pendidikan, perubatan dan banyak lagi.

    “Sebagai seorang guru dan juga rakyat, saya merasa amat bersyukur mempunyai pemimpin yang sangat kasih kepada rakyatnya, dan tidak dilupakan juga, rakyat dan penduduk juga sangat kasih kepada Baginda Sultan di mana beribu-ribu orang datang berpusu-pusu untuk menyaksikan istiadat perarakan. Tidak ketinggalan juga menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang akan berkenan merasmikan jambatan Sungai Kebun pada 14 Oktober dan ini juga merupakan satu lagi perkembangan dan menaik taraf negara serta memberikan kesenangan kepada rakyat dan penduduknya terutama bagi penduduk kampung berkenaan,” jelas Dayang Siti Mariena.

    Awang Mohd Naqib Al-Faiz turut tidak terlepas menghadiri acara tersebut.
    Wakil dari Sekolah Menengah Awang Semaun yang hadir pada acara tersebut.

    Dayangku Tuna Fatimah binti Pengiran Haji Mas Anuar pula meluahkan perasaannya ketika menyaksikan perarakan berkenaan.

    “Saya selaku rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia merasa sangat gembira dan teruja dapat menyaksikan majlis berkenaan. Saya juga ingin menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana telah banyak memberikan kemudahan tempat tinggal, pendidikan percuma, pemeriksaan kesihatan percuma dan banyak lagi dan saya mendoakan agar Baginda Sultan sentiasa sihat walafiat dan kekal karar memerintah negara dengan adil dan bijaksana,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Haji Jamut bin Haji Baha pula berkata, “Saya merasa bersyukur kerana dapat hadir bersama-sama ahli keluarga walaupun sudah bersara, atas rasa kasih dan sayang saya mengarahkan semua ahli keluarga untuk hadir ke Bandar Seri Begawan bagi sama-sama memeriahkan lagi suasana.”

    Beliau menambah, “Sejak Baginda Sultan menaiki takhta, banyak perubahan kami lihat dan rasai, seperti perumahan, pendidikan, perubatan, pembangunan, perhubungan awam antarabangsa dan juga bagaimana kasih sayang KDYMM kepada rakyat nampak jelas di mata kami dan kami sendiri menikmatinya seperti Skim Perumahan Rakyat Jati, perpindahan dan juga pemberian perubatan percuma, pendidikan percuma untuk rakyat dan dalam perkembangan agama Islam juga nampak jelas.

    “Selama lima dekad, Baginda bertakhta dalam pemerintahan monarki mutlak yang jarang wujud di dunia ini. Sepanjang tempoh itu, Brunei memperoleh kemerdekaan sepenuhnya daripada Britain seterusnya berjaya menaikkan taraf hidup rakyatnya menjadi antara yang tertinggi di dunia,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda