Bertudung: Fesyen lawan syariat

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

SIRI SATU

Menutup aurat merupakan kewajipan utama setiap orang Islam.

Bagi kaum wanita, wajib ke atas mereka menutup seluruh badan mereka selain muka dan dua pergelangan tangan apabila berada di hadapan lelaki bukan mahram.

Ini bermakna bahagian kepala wanita termasuk rambut dan telinga adalah wajib ditutup. Antara cara yang digunakan untuk menutup aurat di bahagian tersebut adalah dengan memakai tutup kepala yang lebih dikenali sebagai tudung dalam kalangan masyarakat kita.

Tidak dinafikan, kebanyakan wanita di negara kita sekarang menunjukkan kesedaran mereka dalam menutup aurat. Kecenderungan kaum terbabit untuk memakai pakaian menutup aurat kini didukung pula oleh kemajuan dunia fesyen yang menyajikan pelbagai jenis busana Muslimah dan tudung yang nampaknya seperti cendawan tumbuh di pasaran.

Ada yang murah dan ada yang mahal, ada yang besar dan ada yang kecil, ada yang tebal dan ada yang nipis, ada yang polos dan ada yang berwarna-warni, bercorak, berkerawang, berlabuci, beropol dan sebagainya.

Kaum wanita Islam wajib memakai tudung yang menutupi seluruh kepala dengan melabuhkannya sehingga ke dada kecuali kawasan muka. – Agensi
Dalam pemilihan telekung juga dititikberatkan agar memenuhi syarat menutup aurat dengan sempurna ketika sembahyang. – Agensi

Tidak kurang juga cara atau gaya pemakaian tudung, terdapat bermacam fesyen yang boleh kita lihat. Ada yang dilipat, ada yang dililit, ada yang dimasukkan sahaja, ada yang berlapis-lapis dan ada pula yang hanya diletak di atas kepala dan disidai pada bahu, boleh turun boleh naik dengan sekelip mata. Semua ini tergantung kepada cita rasa si pemakai.

Namun terdapat fesyen atau cara bertudung yang tidak menepati maksud sebenar menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Sebahagian wanita kadang-kadang tersilap dalam memilih atau mengikuti cara seseorang Muslimah dengan memakai tudung mengikut arus moden atau up-to-date. Pada hakikatnya mereka masih belum menepati gaya sebenar yang dituntut dalam menutup aurat.

Ini mungkin disebabkan mereka kurang memahami konsep sebenar pemakaian tudung dalam Islam yang lebih mengutamakan fesyen.

Maka pada keluaran kali ini akan menjelaskan cara yang patut diikuti dalam pemakaian tudung supaya kesilapan mengenainya tidak berterusan dilakukan oleh orang Islam, khususnya para wanita Islam.

Pensyariatan memakai tudung

Allah SWT berfirman yang tafsirnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah an-Nur: 31)

Menurut Imam al-Qurthubi, ayat di atas diturunkan sebagai panduan dan teguran kepada wanita-wanita Islam dahulu yang menutup kepala mereka dengan khimar atau tudung dengan melabuhkannya ke belakang sehingga menyebabkan bahagian dada terbuka, leher dan telinga juga kelihatan.

Menurut Imam Ibnu Katsir, ayat di atas merupakan kewajipan yang diperintahkan Allah SWT ke atas setiap wanita Islam untuk membezakannya daripada sifat dan perbuatan wanita Jahiliyyah yang bertudung tetapi masih mendedahkan dada, leher, telinga dan rambut.

Lantaran turunnya ayat tersebut, para wanita Muhajirin yang awal terus mematuhi apa yang diperintahkan Allah SWT dengan memakai tudung yang labuh melimpasi dada dan menutupi seluruh anggota aurat mereka sebagaimana yang dikhabarkan oleh ‘Aisyah r.a., beliau berkata yang maksudnya:

“Allah SWT merahmati wanita-wanita Muhajirin yang awal kerana apabila Allah SWT menurunkan ayat yang bermaksud “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka,” lantas mereka segera mengoyakkan pakaian (kain) bulu mereka dan mereka menutup kepala dengannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hukum memakai tudung

Menutup kepala bagi wanita Islam apabila di hadapan lelaki bukan mahram adalah wajib. Ini bererti, tidak boleh tidak, seorang wanita Islam wajib memakai tudung apabila berada di khalayak ramai atau di hadapan lelaki asing.

Pada dasarnya, wanita yang memakai tudung itu akan mendapat pahala kerana telah menunaikan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah SWT sebagaimana yang dituntut oleh syarak.

Sekalipun demikian kita perlu mengetahui ciri-ciri dan cara memakai tudung yang menepati kehendak hukum syarak.

Ciri-ciri tudung dan cara pemakaian tudung yang dikehendaki oleh syarak
Agama Islam telah menggariskan ciri-ciri tudung dan cara pemakaian tudung yang perlu diikuti. Antaranya adalah seperti berikut:

i) Memakai tudung labuh yang menutupi aurat di bahagian kepala sehingga ke bahagian dada.

Firman Allah SWT yang tafsirnya: Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka..” (Surah an-Nur: 31)

Berdasarkan ayat di atas, wajib ke atas wanita Islam memakai tudung yang menutupi seluruh kepala dengan melabuhkannya sehingga ke dada kecuali kawasan muka. Ini termasuk menutupi seluruh rambut, kedua cuping telinga, tengkuk dan leher.

Belahan baju itu letaknya di kawasan leher dan dada.

Oleh yang demikian, tudung kepala itu hendaklah juga menutup atau menyembunyikan bahagian leher dan dada. Ini bererti tidak memadai memakai tudung itu jika masih nampak rambut, leher, tengkuk, telinga dan bahagian dada.

ii) Memakai tudung yang diperbuat daripada material tebal yang menutupi warna kulit dan rambut daripada kelihatan.

Tudung yang tebal ialah tudung tersebut tidak jarang, tidak nipis atau berlubang-lubang sehingga boleh menampakkan warna kulit atau anggota aurat.

Rasulullah SAW ada mengingatkan perkara tersebut dengan bersabda yang maksudnya: “Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad SAW) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tiada menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama)….” (Hadis riwayat Muslim)

Ulama dalam mensyarahkan hadis ini mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan bertelanjang itu adalah wanita yang berpakaian nipis yang masih menampakkan warna kulit dan berpakaian menutupi sebahagian anggota aurat dan membuka sebahagiannya lagi.

Oleh itu ketahuilah bahawa memakai tudung yang nipis atau yang jarang itu tidak menepati kehendak sebenar cara bertudung untuk menutup aurat kerana ia masih menampakkan warna kulit. Selain itu, tudung yang terlalu nipis dan ringan juga mudah tersingkap apabila ditiup oleh angin dan menyebabkan aurat terbuka.

Selain itu, terdapat juga telekung yang diperbuat dari material nipis dan jarang serta mempunyai kerawang yang besar dan banyak.

Telekung sebegini boleh menyebabkan sembahyang tidak sah kerana syarat menutup aurat masih tidak terlaksana dengan sempurna.