Bertukar tanaman, tambah koleksi

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 22 FEB – Dalam usaha menyokong pekebun tempatan, terutamanya di Daerah Belait, NBT (Brunei) Sdn Bhd menerusi cawangan Kuala Belaitnya dengan kerjasama kumpulan pekebun Instagram start-up ‘Tiny Ivy’ menganjurkan inisiatif KB Plant Swap kelmarin di bilik pameran NBT di Kawasan Perindustrian Kuala Belait.

Inisiatif pertukaran tanaman, yang pertama diadakan di Daerah Belait itu bertujuan mengumpul ahli hortikultur amatur di sebuah pusat untuk bertemu dan berbincang bersama pekebun lain.

Lebih daripada 30 pekebun telah mengambil bahagian dengan membawa lebih 70 tanaman untuk ditukar bersama pekebun lain.

Selaras konsep ‘Bawa satu tanaman, bawa pulang satu tanaman’, aktiviti yang dianjurkan menggalak peserta membawa tanaman berpasu, bahan dan alat penanaman lain dengan tujuan berkongsi dan bertukar pendapat sesama ahli kumpulan dan individu yang mempunyai hobi yang sama.

Pengurus Jualan Toyota Kuala Belait, Awang Arif Aliudin, berkata, “Kami berasa bangga kerana dapat menganjurkan aktiviti pertukaran tanaman yang pertama di Kuala Belait dan kami gembira dengan sambutan yang amat menggalakkan.

Para pengunjung melihat tanaman yang dipamerkan di bilik pameran NBT di Kuala Belait.
Para pekebun bergambar bersama kakitangan NBT pada akhir acara.

Beliau berkata aktiviti yang diadakan juga bertujuan menarik pelawat ke bilik pameran untuk menguji kenderaan Toyota di samping berpeluang memenangi tanaman yang diidamkan oleh pengumpul tanaman, iaitu Variegated ZZ yang dianggarkan berharga $100.

Di samping itu, satu lagi tanaman yang amat popular, Philodendron Pink Princess, juga menjadi rebutan dan dimenangi oleh Dayang Salmiah binti Sabtu.

“Baucar membeli-belah bernilai $5 juga diberikan kepada mereka yang mengadakan uji pandu di mana mereka boleh membelanjakannya di quirkiness.bn, nookplants.bn, the tiny ivy, hermit’s garden, kitschenware place dan YB’s Kitchen,” kata beliau.

Pelawat yang mengambil bahagian dalam uji pandu juga layak menyertai Toyota Mega 21 Test Drive Spree yang berlangsung selama 21 minggu dari 21 Januari hingga 16 Jun 2021 dengan menawarkan hadiah-hadiah menarik.

Sementara itu, salah seorang peserta KB Plant Swap, Awang Wardi Wasil berkata beliau berjaya menukar kesemua tanaman yang dibawanya ke acara itu.

“Saya rasa pertukaran tanaman adalah satu inisiatif yang baik. Sekarang orang sibuk bertukar tanaman bersama keluarga dan kawan untuk menambah koleksi mereka sendiri.

“Saya berpuas hati dengan koleksi tanaman saya, maka saya hanya ingin meluangkan masa bersama orang yang mempunyai minat yang sama dengan saya,” kata Wardi.