Beruang pertama guna kereta sorong mati

ATHENS, 29 NOV – Seekor beruang cacat bernama Usko, yang dapat terus hidup walaupun dalam keadaan sukar dengan tulang belakang patah selepas ibunya terbunuh, telah mati dalam pusat perlindungan Greece, kata pendukung hidupan liar hari ini.

“Dengan perasaan amat sedih kami mengumumkan bahawa Usko, beruang pertama di dunia yang berjaya bergerak dengan kereta sorong, telah mati,” kata kumpulan hidupan liar Arcturos dalam satu kenyataan.

“Dalam tempoh hayatnya yang singkat, ia telah mengajar kami kepentingan berjuang dan tidak berputus asa, walaupun jika segala-galanya nampak tidak dapat diatasi,” tambah mereka.

Usko mati akibat kegagalan buah pinggang pada Isnin di pusat perlindungan pergunungan Arcturos di Nymfaio, kira-kira 600 kilometer dari barat laut Athens.

Ia ditemui pada 2015 di Utara Macedonia semasa masih kecil, lumpuh dari pinggang ke bawah akibat tulang belakang patah.

Ibunya telah ditembak dan ia sendirian dalam hutan.

“Penjaga dan doktor haiwan melihat Usko mempunyai kekuatan dan semangat kuat untuk hidup dan memutuskan untuk memasang kereta sorong yang dibina khas untuknya, ia dapat menyesuaikannya dengan cepat,” kata kumpulan hari ini.

“Ia menukar tiga kereta sorong sepanjang hayatnya dan menjadi terkenal di dunia sebagai salah satu daripada beberapa kes haiwan liar yang menggunakan alat berkenaan,” tambah mereka.

Ditubuhkan pada 1992, Arcturos memberi perlindungan kepada beruang dan serigala terutamanya dari Balkan, dan juga menerima pemangsa besar dari Austria dan Georgia. – AFP

Gambar menunjukkan Usko dengan kereta sorongnya. – AFP