Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah, baru-baru ini, telah menerima aduan daripada orang ramai mengenai berus Teasing Brush jenama Lady Jayne iaitu produk buatan China yang didapati dijual di salah sebuah pasar raya di negara ini.
Setelah diteliti keterangan kandungan bahan yang tertera pada produk tersebut ianya adalah sah diperbuat daripada percampuran bulu boar (khinzir) dan nilon.
Dalam menangani perkara itu, Jabatan Hal Ehwal Syariah menegaskan supaya produk tersebut diasingkan dengan serta merta dari tempat penyimpanan umum dan diletakkan di tempat atau ruangan Non-Halal.
Semua pengimport, pasar raya dan kedai di negara ini juga dinasihatkan supaya melakukan tindakan pengasingan serta-merta jika terdapat produk yang sama diedarkan dan dijual di premis masing-masing.
Sehubungan dengan itu, KHEU juga mengingatkan kepada pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport produk dan barang gunaan di negara ini supaya sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk-produk dan barang gunaan import yang akan dijual kepada orang ramai di pasar raya atau kedai masing-masing dengan memastikan produk-produk yang halal tidak bercampur dengan yang tidak halal.
Ini demi menjaga maslahat masyarakat Islam di negara ini daripada terjebak mengambil dan menggunakan produk dan barang gunaan yang tidak halal.
Di samping itu, KHEU menyarankan orang ramai yang ingin membuat aduan mengenai penjualan produk tidak halal secara terbuka bolehlah menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah.