Berusaha melupakan memori berdarah

ULASAN BUKU OLEH RAZ AS

 

SEBAGAIMANA waktu petang yang lain di sebuah pusat membeli-belah di pinggir Portland, Maine, kelihatan tiga remaja yang bersahabat sedang menanti waktu bermulanya tayangan filem di pawagam.

Seorang budak lelaki sedang bergurau senda dengan gadis penjual kaca mata. Ibu-ibu pula sedang sibuk membeli-belah bersama anak-anak mereka, dan pengurus di sebuah kedai permainan video sedang sibuk melayan pelanggan-pelanggannya.

Namun suasana tiba-tiba berubah menjadi huru-hara tatkala malapetaka datang bertandang. Sekumpulan penembak tiba-tiba mengamuk di pusat membeli-belah itu.

Lapan minit, masa yang diambil oleh pihak berkuasa untuk menumpaskan penembak-penembak itu. Ternyata waktu tersebut jelas sangat singkat bagi memperlihatkan kredibiliti pihak berkuasa dalam menangani kejadian yang tidak terduga.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang melalui pengalaman ngeri itu, sesingkat mana pun ia, kejadian tersebut telah mempengaruhi kehidupan mereka buat selama-lamanya.

Ketahui kesudahan kisah tiga persahabatan dalam menjalani kehidupan dan berusaha untuk melupakan memori berdarah dalam novel Shelter in Place, karya Nora Roberts.

Pada tahun-tahun mendatang, salah seorang daripada mereka telah menceburkan diri dalam kerjaya menegakkan undang-undang. Salah seorang lagi, memencilkan dirinya, cuba untuk melupakan memori pahitnya terketar-ketar ketakutan tidak berdaya, sehinggalah dia mendapat cara untuk mencurahkan emosinya melalui seninya.

Akan tetapi, terdapat seorang lagi tidak berpuas hati dengan jumlah kematian yang tinggi pada kejadian yang melanda di DownEast Mall itu.

Dengan mangsa-mangsa itu cuba untuk menyembuhkan luka lama, mencari tempat perlindungan dan membina semula hidup mereka, mereka akan menemukan bahawa terdapat seorang lagi dalang yang terus tekun menunggu peluang. Kali ini mungkin tiada tempat yang selamat bagi mereka untuk bersembunyi.

Ikutilah kisah selanjutnya dalam novel Shelter in Place, karya Nora Roberts yang kini sudah berada di pasaran.