Berusaha mencari kebenaran

Ulasan buku oleh Raz AS

MENGAKUI dirinya pernah menyaksikan jenayah pembunuhan dilakukan dengan mata kepalanya sendiri, Billy seorang remaja yang bermasalah datang menemui Cormoran Strike, seorang penyiasat persendirian, di pejabatnya untuk meminta bantuan.

Kedatangan remaja itu yang meminta Strike menyiasat jenayah yang difikirkannya pernah disaksikannya ketika masih kecil dahulu membuatkan Strike berasa tidak keruan.

Meskipun Billy nyata menghidapi masalah mental dan tidak dapat mengingati butiran-butiran yang konkrit, namun Strike dapat merasakan bahawa remaja itu berkata jujur dan sepertinya ada kebenaran di sebalik dakwaannya.

Belum sempat Strike meneruskan pertanyaannya dengan lebih lanjut, Billy tiba-tiba berlari keluar dari pejabat itu dengan keadaan panik.

Mencuba untuk mencari kebenaran di sebalik cerita Billy itu, Strike dan Robin Ellacot, bekas pembantunya yang kini merupakan rakan kongsinya di agensi tersebut, memulakan penyiasatan yang membawa mereka ke kaki-kaki lima London, bilik rahsia Parlimen dan sebuah rumah agam yang indah namun menyimpan seribu persoalan jauh di pinggir kota.

Dalam usahanya mencari kebenaran itu, kehidupan Strike sendiri bukanlah pelayaran yang tenang.

Dirinya yang kini semakin dikenali ramai sebagai penyiasat persendirian membuatkannya tidak dapat beroperasi di sebalik tabir seperti yang dilakukannya sebelum ini.

Tambahan lagi, hubungannya bersama bekas pembantunya itu semakin memburuk, Robin adalah rakan kongsi yang sangat berharga kepada Strike dalam bidang tersebut, namun hubungan peribadi mereka ternyata jauh lebih rumit.

Sejauh manakah kebenaran di sebalik dakwaan Billy? Ketahui lebih lanjut melalui novel Lethal White, buku keempat dalam siri penyiasatan Cormoran Strike karya Robert Galbraith.